25 U-15 players selected for CFA tournament in Haikou City [ 1h ago ]

Tiga syarikat Jepun berminat melabur lebih RM200 juta di Johor

Tarikh kemaskini: 14/06/2019
JOHOR BAHRU, 14 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri sedang berbincang dengan tiga syarikat Jepun yang menunjukkan minat untuk membuat pelaburan bernilai lebih RM200 juta di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor Jimmy Puah Wee Tse berkata dalam kenyataan bahawa pelaburan tersebut boleh menjana sehingga 500 pekerjaan bernilai tinggi.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sektor yang akan dilabur oleh syarikat tersebut.

Puah berkata beliau akan mengetuai misi pelaburan selama seminggu ke Osaka, Jepun dan Seoul, Korea, mulai esok untuk terus menarik pelabur baharu.

Misi itu sejajar dengan Dasar Pandang Ke Timur oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Puah akan disertai oleh pihak berkepentingan Iskandar Malaysia, termasuk Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC) dan i2M Ventures, anak syarikat milik penuh Khazanah National Bhd.

Dalam misi itu, Puah dijadualkan menghadiri mesyuarat perniagaan dan seminar pelaburan di tiga lokasi yang menyasarkan untuk menarik pelabur dari sektor berteknologi tinggi, bernilai tinggi dan berimpak tinggi.

Selain itu, negeri Johor dan i2M akan menganjurkan acara “Peluang Kerjaya di GBS Iskandar” di Tokyo untuk meningkatkan kesedaran mengenai peluang pekerjaan di Iskandar Puteri.

Calon yang disasarkan merupakan mereka yang mempunyai kemahiran dalam bahasa Jepun untuk jawatan dalam bidang kewangan dan perakaunan, sumber manusia, pengaturcaraan, pembangunan permainan, perkhidmatan teknologi maklumat dan perkhidmatan perniagaan dalam semua industri.

Majikan yang mengambil bahagian ialah Frost and Sullivan GIC Sdn Bhd, Vistra Corporate Services Sdn Bhd, Deluxe Games Sdn Bhd, OK Blokchain Centre Sdn Bhd dan Aegis BPO Malaysia Sdn Bhd, dengan kekosongan jawatan sehingga 400 untuk diisi.

Sementara itu, Pengarah Urusan i2M Ventures Zulfiqar Zainuddin berkata tahun ini merupakan tahun keempat i2M menjalin kerjasama dengan kerajaan Johor untuk menarik pelaburan ke negeri ini, dengan banyak usaha dari tahun-tahun sebelum ini yang membuahkan hasil.

Bagaimanapun, melalui program khasnya untuk perkhidmatan perniagaan global (GBS) dikenali sebagai GBS Iskandar, i2M akan mengambil peluang ini untuk meningkatkan lagi usahanya dalam menempatkan Iskandar Puteri sebagai hab bagi GBS, katanya.

Sehingga kini, terdapat 19 syarikat di bawah program GBS Iskandar yang komited untuk mewujudkan 5,260 peluang pekerjaan di Iskandar Puteri dan syarikat tersebut kini dalam fasa “realisasi”, katanya.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu