Lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai jatuh laut ketika memancing [ 16m ago ]

Perwakilan Malaysia ke UK sifatkan projek Battersea sebagai satu kebanggaan negara

Tarikh kemaskini: 14/06/2019
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK) yang baharu, Datuk Mohamad Sadik Kethergany melahirkan kekaguman terhadap projek pembangunan semula Battersea Power Station yang ikonik selain menyifatkannya sebagai satu lagi kebanggaan Malaysia.

Semasa lawatan ke tapak pembangunan semula seluas 16.8 hektar d tengah-tengah kota raya London itu baru-baru ini, Mohamad Sadik menyatakan rasa kagumnya dengan usaha besar ke arah pemulihan ikon global berkenaan.

“Ia jelas sebagai tempat yang menakjubkan, mencakupi warisan dan masyarakat, disatukan dan pastinya akan memberi kebanggaan kepada Malaysia.

“Projek ini merupakan kerja contoh oleh konsortium syarikat Malaysia yang mengabungkan sumber untuk meneroka pelaburan di seluruh dunia,” katanya dipetik sebagai berkata dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh S P Setia Bhd hari ini.

S P Setia merupakan antara entiti yang membentuk konsortium berkenaan. Pihak lain ialah Sime Darby Property dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Aset komersial dalam bangunan stesen kuasa itu kini dimiliki langsung oleh Permodalan Nasional Bhd dan KWSP susulan pembelian yang telah diselesaikan awal tahun ini, menjadi satu daripada transaksi hartanah terbesar di UK.

Semasa lawatan beliau, yang pertama sejak memegang jawatan itu pada April 2019, Mohamad Sadik dibawa melawat Circus West Village, fasa pertama projek Battersea Power Station yang akan dibuka, dan kawasan yang menempatkan pelbagai kedai, restoran, ruang acara serta lebih 1,000 kediaman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company (BPSDC), Simon Murphy yang mengiringi lawatan itu mewakili BPSDC berkata tanpa sokongan tidak belah bahagi pemegang saham Malaysia, Battersea Power Station tidak dapat dibangunkan semula.

“Kami gigih berusaha untuk memulihkan semula bangunan ikonik ini dan menawarkan bahagian London yang baharu, sudah pasti Malaysia dan generasinya akan datang berbangga,” katanya.

Apabila siap kelak, bangunan Power Station disenaraikan Gred II yang dipulihkan akan terdiri daripada lebih 250 pangsapuri, lebih 500,000 kaki persegi ruang pejabat yang akan menjadi Kampus London baharu bagi Apple serta kelab anggota perniagaan, No18.

Stesen kuasa itu akan dibuka kepada awam pada 2021 dan berada di tengah-tengah kawasan pembangunan semula seluas 42 ekar yang dijangka menyuntik lebih £20 bilion ke dalam ekonomi UK, menyediakan 20,000 pekerjaan baharu dan membawa kepada pewujudan Zon 1 London Underground Station baharu yang akan digunakan oleh perkhidmatan kereta api Northern Line Extension.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu