Kelantan must win against UKM FC to remain in Premier League [ 6m ago ]

Lebih banyak syarikat China minat melabur di Malaysia

Tarikh kemaskini: 14/06/2019
KUALA LUMPUR, 14 Jun (BERNAMA) -- Perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang berlanjutan sebaliknya terbukti meningkatkan minat dalam kalangan syarikat-syarikat China untuk melabur di Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata perkembangan itu sekali gus turut memberi peluang kepada Malaysia dalam usaha menarik pelaburan dari negara tersebut.

"Malaysia berpotensi mendapat manfaat dari segi menarik lebih ramai pelabur ke negara ini, lebih-lebih dengan kedudukan strategik Malaysia di Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kerjasama Bersama (JCC) mengenai Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan taman sekutu, Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou (CMQIP) di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ong berkata Malaysia juga sentiasa menyambut baik kerjasama perdagangan ekonomi yang lebih pesat dengan China dan berharap MCKIP di Kuantan, Pahang serta CMQIP di Qinzhou, akan memperkukuh hubungan sedia ada kedua-dua negara itu.

Selain itu, dalam ucapan penutupnya, Ong berkata projek pelaburan pertama di MCKIP membabitkan kilang keluli bersepadu serba moden bernilai RM5.6 bilion yang siap setahun lebih awal dan sudah memulakan operasinya.

“Pelaburan bagi kilang tersebut berjaya mewujudkan sebanyak 3,800 pekerjaan untuk anak-anak tempatan. Kita juga mengalu-alukan kehadiran Maxtrek Tyres yang juga pelaburan baharu Zhaoqing Junhong Co Ltd dari Guangdong ke MCKIP,” katanya.

Setakat ini, MCKIP menerima komitmen 10 projek dengan jumlah pelaburan melebihi RM18 bilion yang dijangka dapat mewujudkan kira-kira 20,000 pekerjaan.

Selain itu, mengulas usaha pembesaran Pelabuhan Kuantan yang berperanan sebagai pemangkin pembangunan MCKIP, Ong berkata fasa pertama terminal laut dalam pelabuhan itu telah beroperasi dalam suku keempat 2018.

Berikutan itu, katanya, kapasiti kendalian tahunan pelabuhan itu akan meningkat kepada 52 juta tan apabila (fasa kedua) terminal laut dalam baharu itu siap.

Sementara itu, merujuk pembangunan CMQIP, Timbalan Menteri Perdagangan China, Li Chenggang berkata jumlah keluasan kawasan taman itu yang dimajukan telah mencecah 2,200 hektar.

“Antara pelaburan yang menjadi kenyataan dan sedang beroperasi ketika ini adalah seperti Taman Sains dan Teknologi Antarabangsa China-Malaysia, Taman Perindustrian Maklumat Elektronik, Taman Perindustrian Kesalinghubungan Elektronik Pintar dan Makmal Sarang Burung Kebangsaan.

“Lebih daripada 10 projek berteknologi tinggi telah memulakan pengeluaran di CMQIP dan pada masa ini ada sebanyak 30 syarikat berdaftar serta 42 projek industri utama di taman itu dengan pelaburan berjumlah RMB64.44 bilion (RM38.75 bilion),” katanya.

-- BERNAMA









BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu