Aktivti Ekstrem Tarikan Surabaya [ 23m ago ]

Lima MoU dimeterai pada mesyuarat meja bulat pengeluaran Malaysia-China

Tarikh kemaskini: 14/06/2019
KOTA KINABALU, 14 Jun (Bernama) -- Agensi kerajaan dan syarikat teknologi dari Malaysia dan China memeterai lima Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini dalam pelbagai sektor industri.

Majlis pemeteraian itu, yang berlangsung selepas Mesyuarat Meja Bulat Pengeluaran Malaysia-China di sini, disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking bersama Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China Miao Wei dan Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Liang Caide.

MoU itu melibatkan kerjasama antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Pusat Kerjasama Ekonomi dan Teknologi Antarabangsa (CIETC); SIRIM dan Huawei Technologies (Malaysia); K.T.I. Sdn Bhd dan Sany Construction Industry Development (M) Sdn Bhd; PP Telecommunication Sdn Bhd dan China Wuhan FiberHome Telecommunication Technologies Co Ltd; dan NHY Borneo and SANY (China).

MARii dan CIETC merancang untuk bekerjasama dalam dasar-dasar terkini industri, penemuan teknologi dan meningkatkan kerjasama perniagaan dalam bidang automotif, robotik industri dan Internet-of-Things, manakala SIRIM dan Huawei akan mengukuhkan kerjasama dalam bidang berkaitan Industri 4.0 dan pengeluaran pintar.

Bercakap kepada pemberita selepas acara tersebut, Leiking berkata kerjasama itu akan berpusat di Sabah dan terdapat kerjasama yang telah bermula beberapa bulan lepas.

"Kami gembira (hari ini) kami dapat mencari peluang ini dan masa untuk bersama Menteri Miao Wei yang mengambil inisiatif untuk datang ke Sabah dan melihat apa yang ditawarkan oleh negeri ini.

“Kami juga dapat mengadakan rundingan meja bulat untuk memperkenalkan syarikat Malaysia dan China yang beroperasi atau akan beroperasi di Malaysia, memberi tumpuan kepada Sabah.

"Apa yang paling penting ialah kita mempunyai menteri dengan kedudukan tertinggi dalam kerajaan China di sini untuk membawa harapan baharu, peluang baharu dan kepercayaan baharu secara langsung antara bukan sahaja Malaysia dan China tetapi juga China dan Sabah," katanya.

Mesyuarat Meja Bulat Pengeluaran Pintar Malaysia-China, bertemakan “Win-Win Cooperation For Manufacturing Innovative Development”, dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan kerjasama Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China.

Ia diadakan khusus untuk menjalin kerjasama perniagaan dalam pengeluaran pintar dalam perniagaan dari kedua-dua negara, dan sesi tersebut dihadiri oleh penggiat industri utama daripada sektor utama berkaitan pengeluaran pintar dari kedua-dua negara seperti Huawei Malaysia, Beidou Communication Group, First Solar, Proton, Perodua, Hikvision, Hisense dan Jinko.

Leiking berkata mesyuarat meja bulat itu merupakan platform yang baik untuk memadankan perniagaan antara Malaysia dan China untuk berkongsi idea, pengetahuan dan kepakaran mengenai teknologi pengeluaran pintar dan amalan global.

Beliau turut menjelaskan bahawa acara itu merupakan satu lagi pencapaian penting untuk hubungan perdagangan antara kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang teknologi baharu dalam sektor automotif, elektronik, telekomunikasi dan mobiliti yang sejajar dengan Industri 4.0.

"Saya percaya hubungan perniagaan baharu yang dijalin hari ini akan mewujudkan laluan dan peluang baharu kepada rakyat Malaysia untuk menyertai rantaian nilai global. Ia juga penting libat urus itu diadakan di Sabah. Saya berharap ia akan membolehkan lebih banyak peluang mencapai bahagian rantau ini dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Miao berkata Sabah mempunyai potensi yang besar dengan pelbagai sumber untuk dibangunkan.

Beliau turut menggambarkan negeri ini amat cantik, menyatakan ia telah menarik kira-kira 600,000 pelancong dari China pada tahun lepas.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu