Lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai jatuh laut ketika memancing [ 10m ago ]

PUNB, MITI dan KPU bekerjasama bantu usahawan terokai pasaran luar negara

Tarikh kemaskini: 14/06/2019
Oleh Azlee Nor Mahmud

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) merancang untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU) bagi membantu usahawan PUNB menerokai pasaran luar negara.

Menurut Pengerusi PUNB Datuk Hazimah Zainuddin, sehubungan dengan itu, ia akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kedua-dua kementerian pada akhir bulan hadapan,

Perjanjian dengan MITI akan melibatkan usaha sama dengan agensi-agensi MITI seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Perbadanan Produktiviti Malaysia.

"Kami mahu bekerjasama dan menandatangani MoU dengan KPU dan MITI supaya mereka boleh membantu kami dengan tujuan menyediakan usahawan untuk pasaran antarabangsa," katanya kepada Bernama hari ini, sambil menambah bahawa majlis pemeteraian itu akan dilangsungkan pada 30 Julai depan.

Hazimah ketika mengulas mengenai keadaan usahawan bumiputera sekarang ini, berkata perniagaan mereka berjalan baik tetapi tidak sewajarnya mereka terus bergantung semata-mata kepada pasaran domestik.

"Untuk menyatakan kebanyakan usahawan-usahawan tidak berprestasi baik adalah sesuatu yang tidak adil kerana terdapat usahawan yang berjaya, malahan terdapat banyak syarikat bumiputera yang sedang melakukan jauh lebih bagus daripada jangkaan kami (PUNB)," katanya.

Hazimah berkata bagi memastikan kejayaan usahawan bumiputera di pasaran antarabangsa, PUNB tidak akan membiarkan mereka meneroka tanpa sebarang bantuan.

"Kami perlu membimbing mereka untuk memastikan perniagaan eksport mereka berkembang, (kerana) satu-satunya cara bagi mengekalkan perniagaan adalah untuk mempunyai hubungan dengan perniagaan di luar negara," katanya lagi.

Beliau sendiri tidak percaya dengan konsep bekerja secara bersendirian, khususnya dalam konteks PUNB.

"Itulah sebabnya mengapa kami merancang untuk bekerjasama dengan beberapa kementerian melalui MoU ini, iaitu dengan MITI dan KPU.

"Kami juga cuba mahu mendedahkan mereka (usahawan) kepada Bank EXIM supaya mereka tahu Bank EXIM boleh memberi pembiayaan perdagangan eksport serta membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara," kata Hazimah.

-- BERNAMA

















BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu