25 U-15 players selected for CFA tournament in Haikou City [ 1h ago ]

PUNB berhasrat bawa 25 usahawan Malaysia ke domain antarabangsa - Pengerusi

Tarikh kemaskini: 14/06/2019
Hazimah Zainuddin
Oleh Azlee Nor Mahmud

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) bercadang membawa 25 usahawan Malaysia ke domain antarabangsa menjelang 2025.

Pengerusinya Datuk Hazimah Zainuddin berkata dalam jangka masa terdekat, sembilan usahawan Malaysia telah dikenal pasti untuk menyertai misi perdagangan ke Taipei pada 17-21 Jun, 2019 dengan kerjasama pasukan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Taiwan.

“Ini ialah kali pertama PUNB membawa usahawan ke peringkat antarabangsa bersempena Pameran Makanan Antarabangsa Taipei (Food Taipei) ke-29, Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan,”katanya kepada Bernama hari ini.

“Saya berpendapat (ini) amat sesuai, tujuan untuk memajukan usahawan di peringkat akar umbi apabila mereka memulakan perniagaan itu dan (akhirnya) mahu mengembangkan perniagaan. Kami akan memajukan lagi mereka,” katanya.

“PUNB bukan institusi kewangan… kami akan membantu mereka mendapat akses kepada pembiayaan, mendidik dan membantu (perniagaan) mereka bagi memastikan perniagaan itu berjaya,” katanya.

Hazimah berkata ketika ini PUNB dalam perancangan membawa syarikat-syarikat sehingga ke peringkat antarabangsa yang mana syarikat-syarikat yang telah dikenal pasti akan menyertai PUNB di Taiwan.

Food Taipei ialah pameran antarabangsa, dengan satu pertiga daripada pempamer terdiri daripada syarikat antarabangsa yang mempamerkan pelbagai budaya makanan.

Pameran itu menampilkan pelbagai makanan, peralatan, teknologi dan pembungkusan bagi industri pemprosesan makanan, selain semua mesin pemprosesan makanan dan pembungkusan serta bahan, sistem dan produk di bawah satu bumbung.

Dengan kehadiran kira-kria 1,150 pempamer dari 40 negara, pameran makanan itu dijangka melibatkan mesyuarat padanan perniagaan berskala besar dengan pembeli/pempamer menyasar mendapat rakan kongsi atau pembelian yang tepat.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu