25 U-15 players selected for CFA tournament in Haikou City [ 1h ago ]

EcoWorld, PowerChina akan bida bersama projek infrastruktur Malaysia

Tarikh kemaskini: 14/06/2019
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- EcoWorld Development Group Bhd menjalin pakatan dengan syarikat tersenarai dalam Fortune Global 500, PowerChina Group bagi membida bersama projek-projek infrastruktur di Malaysia, kata Pengerusi EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin.

Menurutnya, kerjasama itu akan turut membuka peluang kepada syarikat-syarikat China yang berpotensi untuk berniaga dan beroperasi di negara ini.

Langkah itu, katanya, tidak hanya memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-China tetapi turut meningkatkan hubungan sesama penduduk kedua-dua negara.

“PowerChina bukan sekadar syarikat tenaga tetapi juga sebuah firma berpengaruh yang menawarkan penyelesaian lengkap bagi rangkaian tenaga dan kuasa global, sumber air dan alam sekitar, infrastruktur dan industri hartanah.

“Syarikat itu juga memiliki jaringan pelanggan yang ramai dan berkemungkinan berminat untuk melabur dalam projek-projek hartanah di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pakatan dengan syarikat itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah pula berkata kedua-dua syarikat terbabit masih belum memutuskan projek infrastruktur yang akan dibida, setakat ini.

"Kami masih dalam peringkat meneliti apa yang ada dan baru sahaja memulakan usaha ini.

"Bersandarkan kepada kepakaran mereka, kami tidak mahu ia hanya membabitkan infrastruktur biasa dan sebaliknya mahu melihat nilai kepakaran dan teknologi PowerChina turut diserapkan ke dalam infrastruktur Malaysia," katanya.

PowerChina juga akan menempatkan ibu pejabat operasinya bagi rantau Asia Pasifik di negara ini.

Selain itu, majlis hari ini turut menyaksikan pemeteraian perjanjian usaha sama (JV) dan perjanjian pemegang saham antara PowerChina dan anak syarikat EcoWorld, Paragon Pinnacle Sdn Bhd untuk bersama membangunkan tanah perindustrian seluas 47.49 hektar yang dikenali Fasa 2 Eco Business Park V.

Ia yang terletak di Puncak Alam, Shah Alam itu membabitkan cadangan pembangunan yang melengkapi Eco Business Park V (EBP V) seluas 209.63 hektar dan merupakan taman perniagaan pertama Eco World Malaysia di Lembah Klang dengan lokasinya di sebelah pembangunan kawasan perbandaran terbesar kumpulan itu, Eco Grandeur.

PowerChina dan Paragon Pinnacle masing-masing memiliki kepentingan 60 peratus dan 40 peratus dalam JV tersebut.

Paragon Pinnacle dimiliki 60 peratus oleh EcoWorld manakala baki 40 peratus dipegang oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Projek ini merupakan sebahagian daripada pembangunan EBP V yang lebih besar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.7 bilion.

Pembangunan Fasa 2 membabitkan GDV kira-kira RM850 juta merangkumi lot perindustrian berskala sederhana hingga besar untuk industri ringan dan sederhana.

Ini termasuk kemudahan gudang, logistik, ruang pemasangan, fabrikasi, pembuatan, pembungkusan, pembaikan dan pemprosesan bahan.

Pembangunan Fasa 2 Eco Business Park V dijadual siap dalam tempoh lima tahun dan akan mewujudkan lebih daripada 15,000 peluang pekerjaan.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu