Malaysia terus dirundung malang, dibelasah New Zealand 0-6 [ 7h ago ]

Amanah Finance House tawar pinjaman mikro kredit pada awal 2020

Tarikh kemaskini: 14/06/2019
Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.
MELAKA, 14 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri melalui Amanah Finance House akan menawarkan pinjaman kewangan kepada perniagaan kecil dengan saiz pinjaman bermula dari RM3,000 hingga RM50,000 pada awal tahun depan, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata pinjaman itu untuk membantu dan meringankan beban golongan usahawan kecil terutamanya yang baharu berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Katanya langkah tersebut selaras dengan inisiatif kerajaan negeri untuk mempelbagaikan pinjaman kewangan untuk rakyat negeri itu dalam pelbagai aspek kehidupan.

"Mikro kredit akan diperkenalkan untuk golongan usahawan kecil selain pinjaman perumahan yang ditawarkan sebagai permulaan dan model pinjaman ini masih lagi dalam kajian.

"Kita perlu melihat dari pelbagai aspek khususnya peratus faedah yang bersesuaian dengan pinjaman yang ditawarkan," katanya kepada pemberita selepas Program Hari Bertemu Rakyat di sini, hari ini.

Pada program itu, sebanyak 36 aduan rakyat diterima melibatkan pelbagai isu antaranya tanah, pinjaman perniagaan dan pendidikan.

Sementara itu, Adly berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan pinjaman pendidikan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka bagi pemohon yang bukan lahir di Melaka tetapi ibu dan bapa mereka merupakan anak kelahiran negeri itu.

Katanya pertimbangan itu perlu dibuat berikutan terdapat ibu bapa pemohon merupakan anak kelahiran Melaka yang berpendapatan sederhana.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu