Aktivti Ekstrem Tarikan Surabaya [ 24m ago ]

Media jangan jadi alat untuk kepentingan pihak swasta - Lim

Tarikh kemaskini: 15/06/2019
BATU KAWAN, 15 Jun (Bernama) -- Menteri Kewangan Lim Guan Eng menasihatkan pihak media supaya tidak menjadi alat untuk kepentingan syarikat swasta dengan menyiarkan laporan palsu dan tidak berasas.

Beliau berkata pihak media perlu bersikap profesional dan bertanggungjawab terhadap laporan yang dikeluarkan.

"(Media) Jangan siarkan berita yang bukan-bukan dan tidak berasas kerana anda hanya menjadi alat untuk kepentingan pihak swasta.

"Mereka (syarikat swasta) mahu promosikan projek mereka dan untuk jual surat khabar, anda siarkan berita palsu itu...ia bukanlah satu tindakan yang bertanggungjawab," katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 10 Jun lepas yang melaporkan terdapat dua syarikat yang merancang untuk membina lapangan terbang baharu, masing-masing dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara (NORIA), di dua lokasi berbeza di selatan Seberang Perai di bahagian tanah besar Pulau Pinang.

Laporan itu menyebut, dua lapangan terbang baharu yang dicadangkan itu akan menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di Bayan Lepas selain menyebabkan cadangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim melalui Inisiaitf Pembiayaan Swasta (PFI) tidak lagi perlu.

Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan berkata laporan itu adalah palsu dan kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kedah masing-masing tidak tahu menahu mengenai cadangan pembinaan lapangan terbang baharu itu.

Beliau berkata kerajaan kini memberi keutamaan kepada projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas yang mampu menampung sehingga 16 juta penumpang.

Ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan sekiranya ada syarikat swasta mengemukakan kertas cadangan, beliau berkata kerajaan tidak akan melayan sebarang berita palsu.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu