25 U-15 players selected for CFA tournament in Haikou City [ 1h ago ]

Pembangunan pesat I-City beri nilai tambah kepada bandar raya Shah Alam

Tarikh kemaskini: 15/06/2019
SHAH ALAM, 15 Jun (Bernama) -- Pembangunan pesat di kawasan I-City di Seksyen 7 di sini dan pembukaan pusat beli-belah yang terbaharu dilihat mampu memberi nilai tambah kepada bandar raya Shah Alam selaku ibu negeri Selangor.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata dasar kerajaan negeri yang sentiasa menyokong pertumbuhan industri dan komuniti perniagaan selain amalan tadbir urus yang baik memudahkan lagi kemasukan pelaburan dan memperhebatkan projek pembangunan di negeri ini.

“Kita menyambut baik usaha pemaju projek I-City (I-Berhad) yang mahu menjadikan lokasi itu sebagai ‘segi tiga emas’ Selangor melalui pelbagai bentuk pembangunan termasuk pusat beli-belah dan hotel bertaraf antarabangsa.

“Usaha ini akan menambahkan lagi kualiti perkhidmatan mereka selain menjadikan Shah Alam sebagai ibu negeri yang menarik kepada semua kelompok masyarakat termasuk peniaga dan pentadbir,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pusat beli-belah Central I-City di sini.

Ia disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.

Katanya walaupun majoriti rakyat memilih Shah Alam sebagai kawasan tempat tinggal, namun kepesatan pembangunan di situ dilihat mampu menjadikan bandar raya tersebut sebagai tumpuan baharu rakyat di sekitarnya.

Beliau berkata kerjasama antara I-Berhad dan syarikat dari Thailand, Central Pattana Public Company Limited (CPN) untuk membuka Central I-City dapat menambah nilai pelaburan dan menggerakkan ekonomi Selangor serta menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

I-City merupakan projek ultropolis seluas 29 hektar dibangunkan oleh I-Berhad, diperakui sebagai pusat siber Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia yang menawarkan konsep kehidupan pintar dan mempunyai kediaman servis, menara korporat, ruang pejabat siber, hotel, pusat data dan pusat beli-belah.

Timbalan Pengerusi I-Berhad Datuk Eu Hong Chew berkata kemampuan I-City selaku bandar pintar pertama di Malaysia untuk menjadi segi tiga emas Selangor akan meningkatkan pembangunan infrastruktur di negeri ini pada masa depan.

Katanya pihaknya akan mengkaji cara untuk memperkasakan lagi bidang teknologi digital untuk diaplikasikan dalam aspek pembangunan bandar itu supaya ia berbeza dengan kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur.

“Dari segi perancangan pembangunan I-City, kita akan mengkaji semula pelannya kerana kita mahu meningkatkan lagi pembangunan di sini untuk mencapai sasaran sebagai segi tiga emas Selangor,” katanya.

Ketua Pegawai Pembangunan CPN Wallaya Chirathivat berkata kerjasama antara syarikat itu dan I-Berhad adalah atas keyakinan mereka dengan pengalaman luas pemaju tersebut dalam bidangnya selain lokasi di Seksyen 7 yang mempunyai jaringan perhubungan yang terbaik dan jumlah penduduk yang padat di Shah Alam dan Klang.

Katanya sebagai syarikat luar yang kali pertama membuka pusat beli-belah di Malaysia, pihaknya berpuas hati dengan lokasi tersebut dan amat berbesar hati untuk meningkatkan pelaburan di negara ini pada masa depan.

“Bagi pusat beli-belah ini, kami membawa 20 penyewa dari Thailand untuk melihat pasaran dan pengguna Malaysia. Kami akan memperkenalkan lebih ramai penyewa untuk melabur di Malaysia.

“Pada masa sama, kami juga membawa penyewa dari Malaysia ke Thailand kerana kami mempunyai 33 pusat beli-belah, dan mereka akan dapat berkembang dengan kami, dan perniagaan akan meningkat bersama,” katanya.

Pusat beli-belah enam tingkat itu mempunyai keluasan 940,000 kaki persegi dibuka kepada orang ramai secara berperingkat sejak Mac lepas dan merupakan projek antarabangsa pertama oleh CPN.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu