Mayat lelaki ditemui terapung dengan kaki dan tangan terikat [ 7m ago ]

Institusi tempatan muncul sebagai pembeli bersih selepas raya

Tarikh kemaskini: 16/06/2019
Oleh Zarul Effendi Razali & Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) – Institusi tempatan muncul sebagai pembeli bersih ekuiti Malaysia selepas sambutan Hari Raya, menyuntik RM139.2 juta berbanding jualan bersih sebanyak RM306.72 juta pada minggu lepas.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata institusi tempatan mendominasi, menguasai 45.69 peratus daripada pasaran pada minggu ini, diikuti pelabur asing (32.07 peratus) dan peruncit tempatan (22.25 peratus).

Pelabur asing menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia pada minggu ini, dengan aliran keluar berjumlah RM209.1 juta berbanding aliran masuk sebanyak RM328.26 juta minggu lepas, manakala peruncit tempatan menjadi pembeli bersih, mencatatkan aliran masuk sebanyak RM69.9 juta berbanding aliran keluar sebanyak RM21.54 juta.

“Kita telah menyaksikan pelabur asing mencatatkan jualan bersih antara 11 Jun dan 13 Jun. Oleh itu, langkah mengelak risiko amat nyata berikutan kebimbangan mengenai perang perdagangan yang berterusan antara AS dan China terus menjadi tumpuan.

“Sidang Kemuncak G20 pada akhir Jun akan diberi perhatian sama ada Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping akan mengadakan pertemuan, dan kemajuan yang dapat kita jangka daripada mesyuarat tersebut,” katanya kepada Bernama.

Bursa Malaysia dijangka diniagakan kukuh dengan kecenderungan meningkat minggu depan, berikutan jangkaan pulangan daripada minat untuk mengambil risiko yang disokong oleh faktor luaran dan tempatan.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Asia Pasifik Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak antara 1,640 dan 1,650.

“Pasaran ekuiti Malaysia dijangka kukuh minggu depan, berikutan jangkaan pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) dalam masa terdekat, dan susulan ketidaktentuan perdagangan yang menjadi kurang penting disebabkan kekurangan perkembangan yang konkrit mengenai rundingan perdagangan AS-China yang kini terhenti.

“Fed akan bermesyuarat pada 18-19 Jun dan pelabur ingin melihat pendirian dasar monetarinya dengan tumpuan beralih kepada jangkaan yang meningkat bagi bank pusat itu untuk mengurangkan kadar beberapa kali pada tahun ini selepas senarai gaji bukan ladang AS yang rendah pada Jumaat lepas,” katanya.

Ini sejajar dengan unjuran yang dibuat dalam laporan Bloomberg yang dikeluarkan pada minggu ini.

“Pasaran saham paling teruk di dunia awal tahun ini (Bursa Malaysia) berada di ambang pemulihan, selepas menarik US$84 juta daripada pelabur asing pada minggu lepas, paling banyak sejak akhir Januari,” menurut Bloomberg.

Data turut menunjukkan pelabur asing telah kembali, sambil menambah pemulihan akan menjadi rangsangan kepada kerajaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang telah menyaksikan lebih US$3 bilion (RM12.4 bilion) daripada aliran dana asing mengalir keluar daripada pasaran sejak tahun lepas.

Ini walaupun terdapat kritikan daripada pembangkang, termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga sebelum ini Menteri Kewangan, bahawa dasar kerajaan PH yang baharu dan politik domestik telah menakutkan pelabur asing.

Sementara itu, Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata ringgit kebanyakannya diniagakan dalam julat 4.16-4.17 minggu ini, diterajui oleh angka pengeluaran industri Malaysia pada April yang lebih baik daripada jangkaan.

“Dolar US agak lemah dengan harga pasaran dalam pengurangan kadar faedah AS dalam beberapa bulan akan datang, yang memberi ruang kepada mata wang Asia.

“Setakat bulan ini, aset serantau kebanyakannya mendapat faedah daripada penangguhan dalam ketegangan yang meningkat antara AS dan China, walaupun sentimen pasaran terus lemah dan cepat memberikan tanda-tanda ketegangan yang meningkat antara dua ekonomi terbesar dunia itu,” katanya dalam kenyataan.

Mengenai masa depan, Tan berkata keputusan dasar Fed yang akan datang dijangka menjadi pemacu utama pasaran global, berikutan pasaran menjangka sekurang-kurangnya satu pengurangan kadar faedah AS untuk menjadi hampir pasti pada tahun ini.

Walaupun Fed dijangka tidak membuat sebarang langkah dasar monetari pada bulan ini, katanya sebarang petunjuk kepada penurunan kadar faedah dapat menyaksikan dolar US lemah, dan membolehkan mata wang Asia naik lebih tinggi.

“Unjuran ekonomi AS oleh Fed pada minggu depan juga boleh mempengaruhi sentimen risiko, dan risiko penurunan yang meningkat bagi ekonomi terbesar dunia itu seperti dinyatakan oleh bank pusatnya boleh menyebabkan kebimbangan mengenai kelembapan global yang lebih luas.

“Bagi minggu depan, jika USD-MYR beralih daripada julat semasa, paras 4.18 dijangka menjadi paras halangan dalam masa terdekat, dengan paras sokongan segera dilihat pada 4.15,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata Bank Negara mempunyai ruang dasar monetari untuk menetapkan tambahan penurunan dalam kadar faedah.

“Ini adalah baik untuk pelabur pendapatan tetap berikutan kadar faedah dan harga bon bergerak dalam arah yang berbeza. Oleh itu, dengan ringgit di bawah nilai, ia dapat menarik pelabur asing untuk masuk dan menyokong ringgit,” katanya.

Sementara itu, baru-baru ini Dr Mahathir berkata kerajaan akan mengurangkan jumlah proses permohonan pelaburan sebagai usaha mempercepatkan kelulusan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada Selasa, katanya peniaga dan pelabur menghadapi kesukaran berikutan mereka perlu melalui proses yang panjang sebelum mendapat kelulusan untuk melabur.

Mengenai perkembangan lain, Media Prima Bhd melantik Datuk Syed Hussian Syed Junid, 58, sebagai Pengerusi Kumpulan berkuat kuasa 1 Julai, 2019, menggantikan Datuk Mohd Nasir Ahmad, yang tempoh sebagai pengerusi kumpulan berakhir pada 30 Jun.

Telekom Malaysia Bhd (TM) turut mengumumkan pelantikan Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan/Pengarah Eksekutif yang baharu, berkuat kuasa 13 Jun, 2019.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu