Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 1h ago ]

Kementerian Pendidikan mahu tambah kelas PPKI

Tarikh kemaskini: 16/06/2019
JOHOR BAHRU, 16 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan bercadang menambah bilangan kelas bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah arus perdana di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata usaha itu dilihat dapat memberi kemudahan kepada ibu bapa menghantar anak-anak mereka yang berkeperluan khas mendapatkan pendidikan PPKI.

Katanya setakat ini terdapat 1,545 sekolah kebangsaan (SK) dan 830 sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang mempunyai kelas PPKI di negara ini.

“Memang hasrat kita untuk tambah, ia dapat menampung lebih banyak murid berkeperluan khas dan ibu bapa juga senang untuk cari kelas berdekatan rumah mereka.

“Sasaran kita setiap daerah sekurang kurangnya ada (PPKI) kerana kita mahu lihat lebih banyak program itu ditawarkan,” katanya dalam sidang media selepas melawat tapak projek pembinaan SMK Pulai Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai, Zainal Buang.

Teo yang juga Anggota Parlimen Kulai berkata usaha menambah kelas PPKI juga bagi memastikan pelajar berkeperluan khas berpeluang menimba ilmu di sekolah biasa.

“Kita percaya dan kajian menunjukkan kalau kita biarkan mereka dengan pelajar biasa dan bercampur akan lebih baik untuk kedua-dua kumpulan dan menepis segala stigma mengenai mereka,” katanya.

Mengenai pembinaan SK Pulai Emas dan SMK Pulai Jaya, beliau berkata kedua-dua sekolah berkenaan dijangka dapat beroperasi pada 1 Julai 2020.

Katanya setakat ini proses pembinaan SK Pulai Emas yang berkeluasan 2.2 hektar sudah siap sebanyak 52 peratus manakala SMK Pulai Jaya yang berkeluasan 3.7 hektar pula siap 43 peratus.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu