Lebih 80,000 kes kebankrapan direkodkan sejak 2015 hingga Ogos [ 26m ago ]

JCorp catat perolehan RM5.62 bilion

Tarikh kemaskini: 17/06/2019
Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim
Oleh Nor Baizura Basri

JOHOR BAHRU, 17 Jun (Bernama) -- Kumpulan Johor Corporation (JCorp) merekodkan peningkatan perolehan kepada RM5.616 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018 berbanding RM5.564 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata ini dicapai ketika rata-rata perniagaan berdepan pelbagai cabaran serta keadaan pasaran yang tidak menentu.

“Pencapaian memberangsangkan tersebut didorong oleh prestasi perniagaan teras iaitu bisnes perladangan, kesihatan, makanan dan perkhidmatan restoran selain sumbangan divisyen hartanah serta pembangunan industri.

“Secara keseluruhannya pada 2018, JCorp dan kumpulan berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang disasarkan walaupun menghadapi persekitaran sengit dan cabaran dalam sektor-sektor yang diceburi oleh syarikat kumpulan,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Bernama, di sini, hari ini.

Kumpulan itu turut mencatat keuntungan kasar sebanyak RM1.722 bilion bagi tempoh sama yang susut sedikit berbanding RM1.741 bilion pada 2017.

Jumlah aset kumpulan juga mencatat pertumbuhan saban tahun sepanjang tempoh lima dekad beroperasi dengan merekodkan aset bernilai RM22.891 bilion pada 2018 berbanding RM21.79 bilion pada tahun sebelumnya.

Kamaruzzaman berkata prestasi itu diraih hasil sumbangan semua divisyen menerusi cara masing-masing.

Menurutnya, perniagaan perladangan yang diterajui oleh Kulim (Malaysia) Bhd (Kulim) yang juga sayap perladangan JCorp, kekal antara penyumbang terbesar kepada kumpulan dengan perolehan sebanyak RM1.39 bilion.

“Ini dapat dicapai walaupun sektor itu secara keseluruhannya turut menerima kesan kejatuhan harga minyak sawit mentah di pasaran global sepanjang tempoh 2018. Keupayaan Kulim mengharungi cabaran itu adalah hasil langkah korporat melaksanakan agenda meningkatkan kemampanan serta kecekapan operasinya,” kata beliau.

Selain itu, KPJ Healthcare Bhd (KPJ) pula terus mengukuhkan penguasaannya di pasaran dengan mencatat perolehan sebanyak RM3.3 bilion pada 2018 berbanding RM3.2 bilion pada 2017.

“Melangkah ke hadapan, KPJ merancang untuk memperluas perkhidmatan kesihatannya menerusi misi penubuhan hospital di setiap daerah utama di Johor serta pusat penjagaan ambulatori berhampiran bandar-bandar utama di seluruh negara,” katanya.

Menurut Kamaruzzaman, pengukuhan JCorp turut membolehkan kumpulan itu terus melaksanakan tiga peranannya secara berkesan iaitu instrumen pembangunan negeri, entiti bisnes yang menerajui pasaran serta melunaskan tanggungjawab korporat berlandaskan misi ‘Membina dan Membela.’

Ini termasuk bertindak menyumbang kembali sebanyak RM95.12 juta menerusi pelbagai program tanggungjawab korporat untuk menyantuni komuniti dan kumpulan sasaran serta komited menjayakan skim Rumah Mampu Biaya Johor, kata beliau.

“Bagi tempoh 2018, JCorp telah melipatgandakan ketiga-tiga peranan itu menerusi pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi. Kedudukan kewangan kumpulan juga membolehkan JCorp melunaskan obligasi pembayaran kewangan selain menyalurkan sumbangan kepada pembangunan kemasyarakatan,” katanya.

Menurutnya, bagi tempoh 2018, sumbangan cukai kumpulan itu kepada kerajaan adalah sebanyak RM396.64 juta.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu