Mahkamah rayuan kekal hukuman penjara 25 tahun ke atas dua lelaki lakukan pengeboman [ 8m ago ]

Piala Dunia bawah 20 tahun: pemain Korea Selatan terima sambutan wira

Tarikh kemaskini: 17/06/2019
INCHEON, 17 Jun (Bernama) -- Para pemain dan jurulatih Korea Selatan pada Isnin menerima sambutan kepulangan yang hangat selepas mereka menamatkan Piala Dunia FIFA Bawah 20 Tahun di tempat kedua yang berlangsung di Poland hujung minggu lepas, lapor agensi berita Yonhap.

Dilatih oleh Chung Jung Yong, skuad muda Taeguk Warriors mencatat tempat terbaik pernah dicapai negara itu dalam kejohanan lelaki FIFA.

Tiada pasukan lelaki Korea Selatan yang pernah melayakkan diri ke pusingan akhir dalam mana-mana pertandingan FIFA sebelum Sabtu lepas, apabila skuad bimbingan Chung tewas kepada Ukraine 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Lodz.

Meskipun hampa dengan kekalahan itu, para pemain dan jurulatih telah disambut oleh beratus-ratus peminat yang bersorak apabila mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, di barat Seoul pada awal Isnin.

Walaupun dirasakan tidak mungkin, Korea Selatan berjaya mengharungi perlawanan dalam Kumpulan F yang dianggap sukar kerana membabitkan pasukan pilihan pra-kejohanan iaitu Portugal dan Argentina.

Mereka kemudian menewaskan Jepun, Senegal dan Ecuador secara berturut-turut dalam pusingan kalah mati untuk mara ke perlawanan akhir.

Pemain tengah Lee Kang In, yang dinobat pemenang Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan itu, membuka jaringan melalui sepakan penalti pada minit kelima perlawanan.

Bagaimanapun, Ukraine membalas dengan tiga gol berturut-turut bagi menafikan kemenangan pertama Korea Selatan bagi pasukan lelaki dalam kejohanan itu.

Satu-satunya kejohanan FIFA yang berjaya dimenangi Korea Selatan ialah Piala Dunia 2010 Wanita FIFA Bawah 17 Tahun.

Chung dan anak buahnya dijangka menghadiri satu majlis sambutan khas di Plaza Seoul yang berhadapan dengan Dewan Bandaraya Seoul, mulai tengah hari Isnin.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu