Tiada kenaikan cukai taksiran selepas Kuantan jadi bandar raya [ 10m ago ]

Serai Beranang ´Laku Keras´

Tarikh kemaskini: 17/06/2019
Nor Azman Md Said menunjukkan serai jenis peha ayam yang siap dituai di ladang miliknya. --fotoBERNAMA(2019) HAKCIPTA TERPELIHARA
Oleh Fatin Nabihah Marzuki

SEMENYIH (Bernama) -- Tatkala menjejakkan kaki ke Kampung Sasapan Batu Minangkabau di Beranang, penulis terpegun melihat hamparan ladang serai yang menghijau, luas terbentang.

Boleh dikatakan setiap rumah penduduk kampung di situ mempunyai tanaman serai untuk kegunaan sendiri.

Ini memandangkan serai memang banyak digunakan dalam hidangan setiap hari, bukan sahaja oleh masyarakat Melayu, malah turut menjadi kemestian penduduk di Indonesia, Thailand, Sri Lanka dan India.

Selain terkenal sebagai ‘ubat’ penghalau nyamuk serta pelbagai serangga, serai juga banyak kegunaannya sama ada untuk tujuan kesihatan mahupun perubatan kerana khasiatnya yang tersendiri.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa Beranang yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Semenyih di daerah Hulu Langat adalah antara pengeluar serai terbesar di Malaysia.

Jadi, tidak hairanlah jika terdapat kira-kira 500 penduduk di seluruh Beranang mengusahakan ladang serai secara kecil-kecilan yang keseluruhannya merangkumi tanah seluas kira-kira antara 283 hingga 324 hektar, untuk tujuan komersial.


Ladang serai yang diusahakan oleh Nor Azman Md Said di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang, Selangor. --fotoBERNAMA (2019)HAKCIPTA TERPELIHARA

SERAI GANTI PADI

Penduduk kampung berkenaan, Nor Azman Md Said, 44, yang mengusahakan tanaman serai di tanah seluas 2.4 hektar berkata, sejak 30 tahun lalu, kebanyakan tanah di Beranang yang asalnya sawah padi mula ditanam dengan serai berikutan masalah sistem saliran yang menyebabkan para petani tidak dapat bersawah lagi.

“Memandangkan keadaan geografi tanah di sini seperti tanah liat, penduduk mengambil keputusan untuk menanam serai kerana tanaman itu memerlukan tanah yang lembab sama seperti padi tetapi mudah dijaga.

“Serai di Beranang sentiasa mendapat permintaan tinggi sehingga tidak kurang lima tan sehari daripada pasar-pasar borong, restoran-restoran dan kilang-kilang di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Menurut Nor Azman yang merupakan generasi kedua keluarganya mengusahakan tanaman itu, terdapat beberapa jenis serai yang ditanam iaitu serai peha ayam, serai gajah dan serai kampung.
Pekerja di ladang serai di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang ( Selangor) mengikat serai jenis peha ayam mengikut ikatan tertentu untuk dihantar kepada pemborong-pemborong di sekitar Lembah Klang. --fotoBERNAMA(2019) HAKCIPTA TERPELIHARA

“Permintaan terhadap serai gajah kebanyakannya diterima dari sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Serai jenis itu tidak berapa wangi, namun boleh mencapai sehingga setinggi satu setengah kaki (45.7 sentimeter) dan batang serai yang lebih besar,” jelas beliau sambil menambah bahawa serai gajah lebih sesuai untuk hidangan tradisional negeri berkenaan.



KUMPUL PENGUSAHA AGAR SISTEMATIK

Menjelaskan lanjut, beliau berkata serai peha ayam yang banyak ditanam di kampungnya, mengambil masa kira-kira enam bulan untuk matang sebelum boleh dituai. Serai jenis ini sangat wangi dan sesuai untuk masakan seperti tomyam.

“Kalau ditanya permintaan serai di pasar-pasar di Beranang, memang tak laku kerana setiap rumah di sini tanam serai sendiri,” katanya berseloroh.

Bagaimanapun, katanya, isu utama timbul apabila pengusaha di situ tidak dapat menampung permintaan serai yang melebihi bekalan sedia ada.

“Serai yang baharu ditanam mengambil masa lima hingga lapan bulan untuk dituai, jadi kami perlu pastikan bekalan serai sentiasa ada dan jika tidak cukup maka kuranglah pendapatan kami,” katanya.

Harga seikat serai (4kg) ketika ini adalah RM11 dan pada kadar itu sememangnya memberi keuntungan lumayan di mana hasil daripada jualan bagi satu ekar (0.4 hektar) tanaman serai boleh mencecah RM7,000 hingga RM8,000.

Pengurus dan Penolong Pegawai Ekonomi Pertubuhan Peladang Kawasan Beranang, Shafeq Mahzan Mohd Amin berkata hampir 80 peratus ekonomi penduduk di sekitar Beranang dijana melalui jualan serai.

“Memandangkan terdapat kira-kira 500 pengusaha serai di sini, kami sedang berusaha untuk mengumpulkan mereka di bawah satu bumbung supaya aktiviti berkaitan serai dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan terurus,” katanya.



Disunting oleh Sarimah Othman

BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu