Aktivti Ekstrem Tarikan Surabaya [ 12m ago ]

Agensi berita Yonhap anjur forum damai minggu depan

Tarikh kemaskini: 18/06/2019
SEOUL, 18 Jun (Bernama) -- Agensi berita Korea Selatan Yonhap akan menganjurkan satu forum damai dan keselamatan di Seoul minggu depan yang dijangka menghimpunkan editor tertinggi pelbagai agensi berita global yang bertanggungjawab terhadap isu Semenanjung Korea, serta para sarjana dan pakar terkemuka.

Forum itu, yang berlangsung pada 27 Jun dan dianjurkan bersama kementerian penyatuan dengan tema "New Korean Peninsula System for Shared Prosperity," akan turut menampilkan para pegawai tinggi kerajaan seperti Menteri Penyatuan Kim Yeon Chul dan Moon Chung In, seorang penasihat khas kepada Presiden Moon Jae In.

Kim akan menyampaikan ucaptama manakala Moon memberikan ceramah khas.

Moon akan turut mengambil bahagian dalam sesi perbincangan pertama mengenai "Korean Denuclearisation and Peace, and Pyongyang: Seen by Foreign Press," yang disertai editor kanan Associated Press (AP), Agence France-Presse (AFP), Kyodo, Reuters, Tass dan Xinhua.

Ini merupakan kali pertama editor kanan berita agensi utama global yang membuat liputan mengenai Semenanjung Korea berhimpun di Seoul bagi membincangkan isu itu.

Lee Dong Min, wartawan kanan Yonhap yang mempunyai pengalaman berdekad lamanya membuat liputan hal ehwal luar, akan menjadi moderator sesi itu.

Sesi perbincangan kedua akan diadakan di bawah tema "How to Embody New Korean Peninsula System: Is It Possible to Realise Peace and Cooperation and Economic Cooperation Community" dengan Paik Hak Soon, Presiden Institut Sejong sebagai moderator manakala Kim Joon Hyung, profesor di Universiti Handong Global dan Lim Eul Chul, profesor di Institut Pengajian Timur Jauh, Universiti Kyungnam sebagai penyampai.

Profesor Kim Yong Hyun dari Universiti Dongguk dan Min Kyung Ae dari Institut Future Consensus akan turut menyertai panel perbincangan sesi kedua.

Simposium tahun ini dibuat susulan diplomasi aktif berkaitan Semenanjung Korea dengan Presiden China Xi Jinping dijangka mengunjungi Korea Utara minggu ini.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump juga dijadual berkunjung ke Seoul pada akhir bulan ini.

Permohonan untuk menyertai simposium itu boleh didapati dengan percuma secara online di https://www.onekorea2019.co.kr.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu