25 U-15 players selected for CFA tournament in Haikou City [ 1h ago ]

KKMM teliti pertindihan agensi teknologi

Tarikh kemaskini: 18/06/2019
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia meneliti keperluan untuk menyelaraskan beberapa agensi di kementerian berbeza yang berkaitan dengan teknologi dan inovasi bagi mengelakkan pertindihan fungsi.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata perkara itu akan dibincangkan dengan kementerian serta agensi terlibat.

“Terdapat kebimbangan mengenai adanya pertindihan dalam agensi-agensi yang wujud di pelbagai kementerian… itu satu perkara yang kita lihat.

“Bila berkaitan dengan dasar yang melibatkan industri teknologi, tentunya di bawah kementerian saya...saya perlu berbincang dengan menteri-menteri yang berkenaan dan agensinya untuk memutuskan mengenai bagaimana kita boleh bergerak ke hadapan,” katanya kepada media pada Malaysia Tech Week 2019 di sini hari ini, semasa ditanya mengenai pertindihan agensi seperti CradleFund dan Magic.

Beliau berkata apabila terlalu banyak agensi, orang ramai akan keliru dan tidak tahu agensi mana yang perlu dituju berhubung masalah mereka dalam industri teknologi.

“Kita mempunyai banyak agensi yang berlainan di pelbagai kementerian tetapi tidak dilihat sebagai badan yang membawa kerajaan ke dalam ekosistem.

“Jika seseorang perlu berjumpa dengan semua agensi bagi masalah berkaitan dengan teknologi dan inovasi, ia agak menyusahkan dan mengambil masa...saya mengambil maklum semua aduan dan kita berusaha mengatasinya,” katanya.

Gobind berkata kementeriannya merancang untuk menubuhkan sebuah sistem atau badan yang akan memudahkan bagi menambah baik dan membina ekosistem untuk menyenangkan orang ramai mengakses.

“Kerajaan sendiri perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan memahami bahawa teknologi merupakan industri yang besar dan kita perlu mencari jalan untuk memacu ekosistem menjadi pemain global,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, menteri itu berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai ekonomi digital yang matang dan menjadi pilihan utama bagi syarikat ICT dan digital dari seluruh dunia.

“Dua puluh tahun lalu, Malaysia bertindak melalui wawasan untuk mewujudkan ekonomi yang berasaskan teknologi yang akan memacu transformasi digital...kita mengambil peluang berkenaan dan tidak lagi menoleh ke belakang.

“Malaysia menjadi ‘serius dalam digital’ dengan jumlah pelaburan kumulatif Koridor Raya Multimedia (MSC) dari 1997-2018 berjumlah lebih RM330 bilion, jualan eksport bernilai RM166 bilion dan yang pentingnya MSC mewujudkan lebih 180,000 pekerjaan,” katanya.

Dari segi perniagaan, Gobind berkata Malaysia telah menganugerahkan status MSC kepada lebih 4,000 syarikat, yang menawarkan insentif, hak dan keistimewaan.

“Daripada syarikat-syarikat ini, 74 peratus adalah syarikat Malaysia manakala 26 peratus lagi milik asing termasuk 180 syarikat multinasional.

“Bagaimanapun, kita tidak berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai. Malaysia bergerak ke hadapan dan meningkat dalam ruang digital serta teknologi dan Malaysia Tech Week 2019 adalah petunjuk jelas tentang sejauh mana pencapaian kita dan masih boleh berkembang,” katanya.

Malaysia Tech Week 19 merupakan platform bagi semua yang berkaitan dengan teknologi dan digital.

Bermula pada 17 hingga 21 Jun, ia menampilkan inovasi, peluang padanan perniagaan dan akses kepada rangkaian ekosistem teknologi teknologi Malaysia yang berjaya.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu