Motorcyclist run over by fellow motorcyclists in tow, car [ 1m ago ]

Kedutaan Itali di KL sambut Hari Kebangsaan secara besar-besaran

Tarikh kemaskini: 20/06/2019
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Kedutaan Itali di Kuala Lumpur menyambut Hari Kebangsaan negara itu yang ke-73 di sini pada Rabu malam secara besar-besaran.

Sambutan itu disertai kira-kira 1,000 tetamu yang terdiri daripada komuniti Itali di bandaraya ini, anggota kor diplomatik, golongan perniagaan dan wakil badan bukan kerajaan.

Turut hadir Menteri Industri Utama Teresa Kok dan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Itali menyambut Hari Kebangsaannya pada 2 Jun setiap tahun.

Duta Itali ke Malaysia Cristiano Maggipinto berkata sambutan itu diadakan kemudian kerana menghormati bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri pada awal bulan ini.

Pada majlis itu, Maggipinto turut menganugerahkan Order of the Star of Italy kepada Datuk Luciano Mirri, seorang pereka dalaman Itali yang kini menetap di Malaysia.

Beliau menerima anugerah itu bagi kategori Komander.

Order of the Star of Italy dianugerah oleh Presiden kepada rakyat Itali di luar negara yang memberikan sumbangan luar biasa kepada Itali.

Ia turut dianugerah kepada individu yang telah memainkan peranan penting dalam mempromosi dan memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama antara Itali dan negara lain.

Berpangkalan di Kuala Lumpur, Mirri, 75, memiliki pelanggan daripada kalangan keluarga diraja dan rangkaian hotel antarabangsa di rantau ini.

Beliau datang ke Malaysia pada 1978.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu