Jdt dan Terengganu FC hanya seri 3-3 [ 5m ago ]

Sapura Energy antara saham paling cergas selepas peroleh kontrak RM1 bilion

Tarikh kemaskini: 28/06/2019
KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu Sapura Energy Bhd muncul sebagai antara saham paling cergas diniagakan dalam dagangan awal hari ini selepas memperoleh 10 kontrak bernilai RM1 bilion bagi segmen kejuruteraan dan pembinaan serta penggerudian di Malaysia, Thailand, Taiwan dan Australia termasuk kontrak ladang angin luar pantai pertamanya.

Syarikat itu juga dipilih bagi perjanjian kerangka dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk kerja struktur luar pantai tetap.

Pada 10.30 pagi, 38.1 juta saham bertukar tangan menjadikannya kaunter paling menjadi tumpulan pada pertengahan pagi.

Saham syarikat itu naik setengah sen kepada 30 sen.

Public Investment Bank berkata termasuk kontrak-kontrak baharu itu, nilai perolehan kontrak Sapura kekal kukuh sebanyak RM17.3 bilion.

"Ini akan menjadikan syarikat itu aktif bagi tempoh tiga tahun akan datang.

"Kami menjangka 5 kontrak ini akan menjana margin keuntungan pada kadar purata15 peratus," kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan sambil menambah nilai tender Sapura Energy juga kekal kukuh pada US$6.8 bilion ketika ini dengan prospek tambahan US$8 bilion lagi.

Sapura Energy juga berjaya mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM109.10 juta semasa suku pertama yang berakhir 30 April, 2019, daripada RM135.73 juta dalam tempoh yang sama tahun ke tahun.

Hasil bagi suku tersebut meningkat kepada RM1.63 bilion berbanding RM845.17 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

"Kami menganggap keputusan ini adalah sewajarnya kerana kami telahpun menjangkakan pemulihan perlahan dengan peningkatan hanya boleh dilihat dalam separuh pertama tahun kewangan 2020.

"Dengan peningkatan dalam pendapatan suku pertama tahun kewangan 2020 ditambah dengan kontrak baharu itu, kami berpendapat kumpulan tersebut boleh mencatatkan pemulihan tahun ini,” kata bank pelaburan itu.

Oleh itu, Public Investment Bank mengekalkan penilaian mengatasi pasaran Sapura Energy dengan harga sasaran 43 sen sesaham.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu