Jdt dan Terengganu FC hanya seri 3-3 [ 5m ago ]

Senat AS lulus perbelanjaan pertahanan berjumlah AS$750 bilion

Tarikh kemaskini: 28/06/2019
WASHINGTON, 28 Jun (Bernama) -- Senat pada Khamis meluluskan rang undang-undang perbelanjaan pertahanan berjumlah US$750 bilion, menjelang pengundian pindaan akta bagi mencegah presiden Amerika Syarikat menggunakan dana untuk menyerang Iran tanpa kelulusan Kongres, lapor agensi berita Anadolu.

Senator mengundi 86-8 terhadap Akta Kebenaran Pertahanan Kebangsaan, memberikan garis panduan dasar yang luas untuk Pentagon.

Undang-undang itu termasuk belanjawan asas sekitar US$642 bilion untuk Pentagon bersama US$23 bilion bagi program Jabatan Tenaga Keselamatan Kebangsaan.

Kira-kira US$76 bilion turut diperuntukkan untuk pelan operasi kontigensi luar negara - ada kalanya dirujuk sebagai dana perang - yang beroperasi sebagai kantung dana berasingan untuk Jabatan Pertahanan dan Jabatan Negara dengan Kongres tidak mempunyai banyak kuasa memantau dana ini.

Sebagai tambahan terhadap rang undang-undang itu, Senat akan mengundi pada Jumaat berhubung pindaan peraturan yang akan menghalang Presiden Donald Trump menggunakan dana untuk melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Iran tanpa kebenaran Kongres.

Undian itu dibuat ketika krisis Amerika-Iran memuncak selepas tentera Iran menembak jatuh sebuah dron Amerika awal bulan ini.

Iran mendakwa dron terbabit terbang di wilayah negara itu manakala Amerika menyatakan ia masih berada di ruang udara antarabangsa. Trump bertindak balas dengan mengenakan sekatan terhadap Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei.

Keadaan semakin tegang antara Amerika dan Iran sejak Mei 2018 apabila Washington mengambil tindakan sepihak menarik diri daripada perjanjian damai nuklear bersejarah 2015 antara Teheran dan lima anggota tetap Majlis Keselamatan serta Jerman dan Kesatuan Eropah.

Sejak itu, Amerika melancarkan kempen diplomatik dan ekonomi dengan mengenakan tekanan terhadap Iran bagi merundingkan semula perjanjian.

Dalam sebahagian kempen, Amerika mengenakan semula sekatan dagang terhadap minyak mentah Iran, menyaksikan ekonomi negara Teluk itu merudum.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu