Sabah capai 90 peratus tahap perkhidmatan ICT [ 28m ago ]

ICC: "Terminator" Congo didapati bersalah lakukan jenayah perang

Tarikh kemaskini: 08/07/2019
ANKARA, 8 Julai (Bernama) -- Seorang panglima perang Congo telah didapati bersalah melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan antara 2002-2003 di Republik Demokratik Congo (DRC), lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Isnin.

Bosco Ntaganda telah dibicarakan atas 13 pertuduhan melakukan jenayah perang dan lima pertuudhan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan di wilayah Ituri di timur laut DRC pada 2002 dan 2003, menurut ICC.

Mahkamah itu menyebut: "Sejumlah 2,129 mangsa, yang diwakili peguam mereka Cik Sarah Pellet dan Encik Dmytro Suprun dari Pejabat ICC bagi Peguam untuk Mangsa, mengambil bahagian pada perbicaraan itu selepas diberi kuasa untuk berbuat demikian."

Ntaganda merupakan Timbalan Ketua Turus dan komander operasi Kesatuan Patriot Congo (UPC), sebuah kumpulan bersenjata terancang yang terlibat dalam dua konflik di Ituri pada 2002 dan 2003, menurut ICC.

Mahkamah mendapati UPC dan sayap tenteranya, Pasukan Patriotik bagi Pembebasan Congo (FPLC), "pada setiap masa adalah terlibat dalam sekurang-kurangnya satu konflik bersenjata dengan pihak yang menentang di Ituri," menurut kenyataan itu.

"Bagi menentukan hukuman terhadap Encik Ntaganda dalam kes ini, mahkamah akan mendengar hujah semua pihak dan peserta berhubung hukuman yang wajar dijatuhkan, dan akan menetapkan pendengaran berasingan, untuk menerima bukti dan menangani isu berkaitan jatuh hukum. Sementara menunggu hukuman dijatuhkan, Encik Ntaganda akan terus ditahan," kata ICC.

Perbicaraan beliau bermula pada 2 Sept 2015.

Ntanganda, yang digelar "Terminator," telah menyerah diri di kedutaan Amerika Syarikat di Kigali Rwanda pada 18 Mac 2013. Beliau kemudian meminta dipindahkan ke ICC di The Hague.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu