Points dropped and Selangor's stuttering Malaysia Cup campaign continues [ 41m ago ]

Pence berikrar tidak akan pernah benarkan Iran peroleh senjata nuklear

Tarikh kemaskini: 09/07/2019
WASHINGTON, 9 Julai (Bernama) -- Washington tidak akan membiarkan Iran mendapatkan senjata nuklear, kata Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Mike Pence selepas Tehran dilaporkan melanggar tahap pengayaan uranium yang ditetapkan dalam perjanjian antarabangsa, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Bercakap kepada beratus-ratus penyokong di persidangan Christians United for Israel (CUFI), Pence berkata AS "akan terus menentang pengaruh jahat Iran" dan bahawa "Amerika tidak akan pernah membenarkan Iran memperoleh senjata nuklear."

Terdahulu pada Isnin, Tehran memulakan pengayaan uranium pada 4.5 peratus iaitu lebih tinggi daripada had 3.67 peratus yang dibenarkan dalam perjanjian nuklear itu, kata seorang pegawai Iran kepada agensi berita Associated Press.

Seorang jurucakap Pertubuhan Tenaga Atom Iran berkata 20 peratus pengayaan itu adalah fasa ketiga dalam langkah mengurangkan komitmennya di bawah perjanjian nuklear 2015.

Bagaimanapun, ketua pasukan elit Pengawal Revolusi Iran Mejar Jeneral Hossein Salami, dilaporkan berkata bahawa dunia tahu bahawa Iran tidak berhasrat untuk mendapatkan senjata nuklear.

Di bawah perjanjian nuklear 2015, yang ditandatangani dengan United Kingdom, AS, Rusia, China, Perancis, Jerman dan Kesatuan Eropah, Iran bersetuju untuk memusnahkan stok simpanan uranium pengayaan sederhananya dan memotong stok simpanan uranium pengayaan rendah sebanyak 98 peratus.

Pence turut memberi amaran kepada Iran, dengan menyatakan bahawa negara itu tidak seharusnya menyalah tafsir keputusan AS menarik balik serangan selepas Tehran menembak jatuh sebuah dron milik Amerika bulan lepas.

Ketegangan memuncak antara kedua-dua negara sejak Trump keluar dari perjanjian nuklear pada 2018, dan sejak itu AS telah memulakan kempen diplomatik dan ekonomi untuk mengenakan tekanan terhadap Iran bagi merundingkan semula perjanjian tersebut.

Sebagai sebahagian daripada kempennya, AS telah mengenakan semula sekatan ke atas eksport minyak mentah Iran, yang telah menjejaskan ekonomi negara itu.

Setiausaha Negara Mike Pompeo juga bercakap pada persidangan CUFI, menyerang Iran dan mengkritik kebebasan beragama di negara itu.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu