Australia´s expertise can help improve Malaysian value chain -- Darell [ 1m ago ]

Gangguan seksual: Vatican tarik balik imuniti dutanya di Perancis

Tarikh kemaskini: 09/07/2019
MADRID, 9 Julai (Bernama) -- Vatican pada Isnin menarik balik imuniti diplomatik dutanya di Perancis, Luigi Ventura, susulan dakwaan melakukan gangguan seksual, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Kementerian Luar Perancis.

Kementerian Luar Perancis menerima pengesahan dari Vatican berhubung perkara itu, menurut jurucakapnya dalam kenyataan tersebut.

Satu siasatan terhadap Ketua Biskop itu dimulakan pada Januari selepas seorang pegawai rendah di Dewan Bandaraya Paris mendakwa Ventura, 74, melakukan pencabulan seksual namun disebabkan kekebalannya, beliau tidak boleh disoal oleh pihak pendakwaan.

Seorang jurucakap Vatican berkata tindakan itu "adalah satu isyarat luar biasa yang mengesahkan kesanggupan wakil Paus berkenaan, seperti dizahirkan dari awal, untuk bekerjasama sepenuhnya dan secara spontan dengan pihak berkuasa kehakiman Perancis."

Alessandro Gisotti berkata Vatican telah menanti sehingga akhir fasa awal siasatan dan memaklumkan keputusannya kepada kerajaan Perancis minggu lepas untuk menarik balik imuniti Ventura, yang menjadi wakil Vatican di Perancis sejak 2009.

Ventura telah didakwa melakukan serangan seksual oleh tiga individu lain sejak Februari. Beliau telah memberi keterangan kepada polis Perancis pada April.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu