Sabah capai 90 peratus tahap perkhidmatan ICT [ 30m ago ]

Media Jerman, pencinta alam sekitar selar eksport sisa plastik ke M'sia, negara Asia lain

Tarikh kemaskini: 09/07/2019
Oleh Manik Mehta

FRANKFURT, 9 Julai (Bernama) -- Terdapat bantahan dan kritikan lantang dalam kalangan media Jerman dan golongan pencinta alam sejak beberapa minggu lepas berhubung eksport sisa plastik yang “memalukan” ke Malaysia serta negara Asia lain.

Media Jerman, meliputi Bild-Zeitung hinggalah yang berhaluan kiri Frankfurter Rundschau, begitu lantang mengkritik penghantaran secara curi-curi sisa plastik ke Malaysia dan negara Asia lain manakala Parti Hiijau yang memperjuang alam sekitar telah mendesak kerajaan untuk memberikan penekanan lebih besar berkaitan kitar semula berbanding mengeksport sisa plastik ke negara lain dan menimbulkan pelbagai masalah kesihatan di sana.

Kerajaan Jerman, ketika menjawab soalan bertulis sekumpulan anggota Palimen Parti Hijau, mengesahkan bahawa eksport sisa plastik Jerman ke Malaysia telah meningkat sepuluh kali ganda sejak sedekad lepas.

Menurut Kementerian Alam Sekitar Jerman, eksport bahan sisa plastik ke Malaysia meningkat kepada 130,000 tan tahun lepas berbanding 12,065 tan pada 2009.

Kementerian itu merujuk kepada anggaran tentatif Pejabat Alam Sekitar Persekutuan selepas mengeluarkan data itu daripada statistik perdagangan luar.

“Jerman tidak harus menyalah guna negara seperti Malaysia sebagai tempat pembuangan sampah bagi sisa plastik kita,” kata Bettina Hoffmann, jurucakap parlimen Parti Hijau bagi isu alam sekitar.

“Sisa plastik yang dibuat di Jerman harus digunakan di negara ini juga,” kata Hoffmann.

Selepas China mengenakan sekatan ketat ke atas import sisanya, pengeksport sisa Jerman beralih ke Malaysia, yang menjadi destinasi paling utama bagi eksport sisa Jerman.

Kira-kira 13 peratus daripada sejumlah 1.04 juta tan eksport sisa negara itu diperuntuk ke Malaysia.

Media Jerman telah melaporkan bahawa “mafia sisa plastik” telah memilih depot terbabit dengan begitu berhati-hati.

Pembeli Malaysia, menurut laporan media Jerman, cenderung untuk menubuhkan depot sisa plastik mereka di tengah-tengah ladang kelapa sawit untuk mengelak dikesan, dan penyeludup telah membawa sisa dari Eropah dan AS ke depot terbabit.

Selepas pihak berkuasa Malaysia mula menolak dan bertindak memulangkan sisa yang tidak dikehendaki ke Jerman negara asal lain, negara ASEAN turut mengikuti jejak Malaysia.

Penghantaran besar bahan sisa plastik telah dipulangkan ke Jerman dan negara lain di Barat dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini bukan hanya oleh Malaysia tetapi juga Indonesia, Filipina dan lain-lain.

Jerman turut mengeksport sejumlah 57,000 tan sisa plastik ke to Vietnam; 61,000 ke Indonesia; 68,000 ke India dan 73,000 ke Hong Kong.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu