RM5.5 juta diperuntuk kepada Pusat Latihan Belia KPD-OISCA [ 4m ago ]

Jutawan dana lindung nilai AS, Jeffrey Epstein, didakwa eksploit gadis bawah umur bagi tujuan seks

Tarikh kemaskini: 09/07/2019
NEW YORK, 9 Julai (Bernama) -- Jutawan dana lindung nilai Amerika Syarikat Jeffrey Epstein pada Isnin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyeludup gadis bawah umur bagi tujuan seks, lapor agensi berita China Xinhua.

Pertuduhan terhadap beliau menyebut bahawa jutawan berusia 66 tahun itu didakwa melakukan eksploitasi dan penderaan seksual terhadap berpuluh-puluh gadis seawal usia 14 tahun pada 2002 hingga 2005.

Pihak pendakwaan berkata beliau telah membawa kesemua mangsa ke rumahnya di New York dan Florida, antara lain, serta membayar mereka untuk aktiviti seks. Beliau turut membayar beberapa mangsanya untuk merekrut lebih ramai gadis bawah umur, menurut pertuduhan itu.

Foto bogel gadis-gadis muda telah dirampas daripada rumah jutawan tersebut di Manhattan selepas penahanannya pada Sabtu malam di New Jersey, kata pendakwaan.

"Walaupun perbuatan itu didakwa berlaku beberapa tahun lalu, ia masih penting kepada kebanyakan mangsa - kini sudah dewasa... Mereka perlukan pembelaan di mahkamah. Kami bangga untuk berdiri bersama-sama mereka dengan membawa pertuduhan ini," Kata Peguam Negara AS Geoffrey Berman dari New York.

Pihak pendakwaan berkata mereka akan menahan Epstein sehingga pendengaran ikat jamin dijadual berlangsung dalam tempoh seminggu.

Menurut laporan media AS, Epstein sebelum ini disabitkan dengan kesalahan serupa kira-kira 11 tahun lepas di Florida.

Beliau mengelak pendakwaan persekutuan dan oleh itu, terhindar daripada meringkuk dalam lama penjara dengan mengaku bersalah di bawah tawaran pengakuan salah.

Beliau meringkuk selama 13 bulan dalam sebuah penjara daerah dan dibenarkan ke pejabatnya pada waktu siang.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu