Mangsa kemalangan tak sabar ke sekolah [ 4m ago ]

Rundingan dua hala AS-Korea Utara pendekatan terbaik basmi senjata nuklear di Semenanjung Korea

Tarikh kemaskini: 09/07/2019
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Rundingan dua hala antara Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) adalah pendekatan terbaik untuk pembasmian senjata nuklear di Semenanjung Korea selepas kegagalan Rundingan Enam Pihak, kata bekas diplomat Korea Selatan.

Bekas ketua delegasi Korea Selatan ke Rundingan Enam Pihak, Chun Yung Woo, berkata memandangkan Korea Utara mempercayai bahawa hanya AS memiliki kuasa tawar-menawar yang mempunyai nilai, pendapat negara lain tidak akan dipertimbang dalam isu ini.

“Bagi Korea Utara, negara lain tidak penting. AS sahaja yang penting bagi Korea Utara kerana ia percaya hanya AS yang mempunyai cara dan kaedah untuk menafikan apa yang mereka inginkan; kelangsungan hidup atau kemakmuran.

“Mereka percaya negara lain seperti China tidak boleh melindungi Korea Utara kerana China mempunyai kepentingannya sendiri untuk dilindungi,” kata Pengerusi dan Pengasas Forum Masa Depan Semenanjung Korea kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama ketika ditemui di luar Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, Chun tidak menolak sepenuhnya kepentingan usaha pelbagai pihak memandangkan Rundingan Enam Pihak yang kini tidak berfungsi adalah berguna untuk menjadikan sebarang persetujuan antara AS-Korea Utara lebih dipercayai, meskipun ia gagal menghalang Pyongyang menarik diri daripada rundingan itu.

Rundingan Enam Pihak adalah satu siri rundingan pelbagai pihak antara Korea Utara, China, Jepun, Rusia, Korea Selatan dan AS sejak 2003 bagi menghapuskan program nuklear Korea Utara.

Dianjurkan oleh China, Rundingan Enam Pihak berakhir pada 2009 selepas Korea Selatan memutuskan untuk tidak lagi mengambil bahagian dalam proses itu.

Mengulas dua sidang kemuncak antara AS dan Korea Utara – di Singapura pada 2018 dan Hanoi pada 2019 – beliau berkata meskipun mereka tidak membuahkan hasil yang konkrit, pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dilihat mempunyai kelebihan berbanding Presiden Donald Trump.

"Jika anda melihat perjanjian spesifik yang terhasil di Singapura, ia adalah kegagalan sepenuhnya buat AS dan kejayaan sebelah pihak untuk Korea Utara kerana ia menggambarkan apa yang dimahukan Korea Utara. Semua hujah Korea Utara yang mereka utarakan sejak berdekad lamanya dimasukkan sepenuhnya dalam Deklarasi Bersama," katanya.

Menyifatkan kedua-dua sidang kemuncak sebagai satu "proses mengenali," beliau berkata apabila sidang kemuncak ketiga diadakan pada masa akan datangt, kedua-dua pihak akan lebih realistik dan berbincang lebih banyak mengenai urutan bagaimana dan bila Korea Utara akan membasmi senjata nuklear serta bagaimana dan bila AS akan mengotakan janji-janjinya.

Perunding berpengalaman itu berkata kedua-dua pihak harus berusaha membina keyakinan sepanjang proses pelaksanaan perjanjian tersebut, dan bukan sebelum perjanjian itu.

Beliau berkata berbanding kepercayaan bersama, kepentingan bersama lebih memainkan peranan dalam memastikan kejayaan mana-mana perjanjian.

"Sekalipun keyakinan menjadi masalah, ia tidak akan menghalang pelaksanaan perjanjian itu. Lihat sahaja kes antara AS dan Kesatuan Soviet semasa kemuncak Perang Dingin. Perjanjian kawalan senjata api paling penting seperti Perjanjian ABM (Anti Peluru Berpandu Balistik) dan Perjanjian Pengurangan Senjata Api Strategik (START) dimuktamad ketika keyakinan bersama berada pada tahap paling rendah," katanya.

Chun berkata niat sebenar Kim untuk melupuskan senjata nuklearnya harus diuji dari setiap arah dan cara yang mungkin namun percaya pemimpin Korea Utara itu akan mempunyai niat yang tulen jika "kena dengan harganya.”

Beliau berkata jika ada cara untuk Korea Utara meneruskan kelangsungannya tanpa meninggalkan senjata nuklear, ia tidak akan berbuat demikian, namun impian Kim untuk mempertahan legitimasinya sebagai pemimpin Korea Utara sepanjang hayatnya bermakna beliau memerlukan lebih lagi daripada sekadar senjata nuklear.

"Kim memahami bahawa tiada masa depan untuk Korea Utara jika tiada pembangunan ekonomi," katanya.

Menyifatkan Kim sebagai "ahli strategi yang hebat pada zaman ini" dan telah mengatasi beberapa pemimpin dunia setakat ini, Chun berkata pemimpin berusia 35 tahun itu akan mendapati bahawa lebih mudah untuk melepaskan senjata nuklearnya sekarang kerana masa tidak memihak kepadanya apabila terpaksa berdepan sekatan antarabangsa yang ketat.

"Saya harap beliau cukup bijak untuk percaya bahawa adalah jauh lebih bermanfaat untuk melepaskan senjata nuklear sekarang dan percaya dengan kemungkinan bahawa beliau boleh membina senjata nuklear apabila perlu pada masa akan datang...itu boleh menjadi satu strategi yang lebih sesuai untuk beliau," katanya sambil menambah bahawa "surat cinta" Kim' kepada Trump mungkin merupakan langkah pertama bagi tujuan itu.

Bagaimanapun Chun, yang merupakan seorang diplomat selama 33 tahun – termasuk sebagai Naib Menteri Luar Kedua Korea Selatan – berkata Trump dan Kim perlu fleksibel jika mereka mahu mengelak pulang dengan tangan kosong seperti yang berlaku dalam rundingan di Hanoi pada Februari tahun ini.

Beliau juga berkata adalah lebih baik jika Washington tidak memandang rendah Kim, yang disifatkannya sebagai seorang “pelabur yang berani mengambil berisiko tinggi untuk mendapatkan pulangan yang tinggi.”

Bekas anggota Panel Peluru Berpandu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu berkata kesilapan Kim adalah beliau yakin boleh mengatasi Trump sekali lagi di Hanoi, namun Korea Utara belum kehilangan sebarang aset rundingan dalam mana-mana urusannya setakat ini.

"Beliau (Kim) tidak pernah salah perhitungan setakat ini. Beliau seorang pelabur yang bijak, bagi saya. Ayah (Kim Jong-il) dan datuknya (Kim Il-sung) lebih berhati-hati...(namun Kim Jong-un) memiliki kemahiran yang amat tinggi. Beliau tahu cara menipu (orang lain)...untuk mencapai kata sepakat yang disukainya (di Singapura)," kata Chun.

Chun, bekas penasihat keselamatan negara bagi Presiden Korea Selatan Lee Myung-Bak, berkata selepas belajar daripada kesilapannya, pemimpin Korea Utara itu akan lebih berhati-hati dalam rundingan pada masa depan dan berkemungkinan menyesuaikan tawarannya supaya menjadi lebih menarik kepada Trump.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu