EKONOMI

SUBSEKTOR HILIRAN PLASTIK DOMESTIK PERLU SOKONGAN -- MIDA

09/07/2019 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Segmen subsektor hiliran plastik domestik memerlukan sokongan industri huluan yang memberansangkan bagi memastikan pertumbuhan dan kemampanannya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud.

Merujuk Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Petronas di Pengerang, Johor, beliau berkata projek tersebut telah membuka banyak peluang bagi pengeluar plastik untuk berkembang dan memajukan lagi produk masing-masing untuk kalangan pelanggan mewah dan sofistikated.

"Walaupun terdapat cabaran, pelancaran Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 oleh Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada tahun lepas misalnya telah memberi peluang kepada pihak berkepentingan industri untuk mempelbagaikan produk yang ditawarkan selain meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Dwitahunan Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA)- Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA)-MIDA mengenai bantuan kerajaan di sini hari ini yang turut dihadiri seramai 120 peserta.

Azman turut mengingatkan kalangan penggiat industri itu untuk mengguna pakai model perniagaan yang mampu disesuaikan dengan persekitaran perniagaan.

"Syarikat-syarikat tidak mempunyai pilihan kecuali mengguna pakai aspek automasi, konsep dan teknologi pintar dalam proses pengeluaran masing-masing bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing.

"Selain itu, kerajaan juga akan terus berusaha mewujudkan dasar yang sesuai dan menawarkan bantuan serta kemudahan sewajarnya untuk memastikan iklim pelaburan Malaysia kekal menarik untuk perniagaan," katanya.

Sementara itu, bercakap pada persidangan tersebut, Naib Presiden MPMA Datuk Noraini Soltan menyifatkan industri plastik sebagai industri sokongan utama untuk kebanyakan sektor penting termasuk industri pembungkusan elektrik dan elektronik, automotif dan makanan menerusi pembekalan peralatan dan komponen plastik serta bahan pembungkusan plastik.

"Seiring dengan transformasi yang dilalui oleh syarikat-syarikat, kita juga harus terus menyokong rakyat dengan memastikan mereka memiliki kemahiran tinggi yang diperlukan bagi mengembangkan kerjaya dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi serta mewujudkan pekerjaan dengan nilai tinggi dalam jangka panjang," katanya.

Menurut MIDA, lebih 1,500 projek pembuatan dalam industri plastik dengan pelaburan bernilai RM18 bilion telah dapat dilaksanakan di Malaysia setakat Mac 2019 yang turut mewujudkan lebih daripada 103,000 pekerjaan di negara ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan