Getting stuck with the nickname 'Awang' forever [ 11m ago ]

Tujuh kanak-kanak maut dalam letupan periuk api di timur Syria

Tarikh kemaskini: 10/07/2019
DAMASCUS, 10 Julai (Bernama) -- Sekurang-kurangnya tujuh kanak-kanak terbunuh pada Selasa dalam satu letupan periuk api di timur Syria, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan stesen TV rasmi.

Menurut laporan itu, periuk api tersebut meletup di pekan Dablan yang terletak di timur wilayah Deir al-Zour.

Laporan berkenaan menyebut periuk itu adalah saki-baki peninggalan kumpulan militan Daesh yang menguasai pekan tersebut sebelum pembebasannya tahun lepas.

Ia merupakan kemalangan terkini yang dilaporkan berkaitan letupan serupa di Syria.

Periuk api telah membunuh berpuluh-puluh orang di kawasan yang sebelum ini dikuasai pemberontak di tengah-tengah usaha kerajaan untuk memusnahkan bahan letupan itu demi keselamatan orang awam.

Pada 11 April, tiga kanak-kanak terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam satu letupan periuk api di selatan Syria.

Pada 6 Mac, tujuh orang awam maut dalam satu letupan periuk api di Aleppo yang terletak di utara Syria. Pada bulan sama, sembilan orang lagi terbunuh dalam letupan periuk api di wilayah Aleppo.

Pada 24 Feb, sejumlah 24 orang awam maut dalam letupan serupa di wilayah tengah Syria.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu