Kumpulan pertama jemaah haji dari Kelantan selamat tiba [ 3h ago ]

Korea Selatan, Malaysia adakan pusingan pertama rundingan FTA Khamis ini

Tarikh kemaskini: 10/07/2019
SEOUL, 10 Julai (Bernama) -- Korea Selatan bercadang mengadakan pusingan pertama rundingan berkaitan perjanjian perdagangan bebas dua hala (FTA) dengan Malaysia minggu ini sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara Asia Tenggara itu dan meningkatkan perdagangan, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian perdagangan pada Rabu.

Kedua-dua negara akan mengadakan rundingan FTA di Kuala Lumpur pada Khamis, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan.

Pertemuan itu diadakan tiga bulan selepas pemimpin kedua-dua negara bersetuju melancarkan rundingan bagi FTA dua hala semasa sidang kemuncak mereka pada Mac.

Seoul dan Kuala Lumpur merancang untuk memuktamadkan perjanjian itu sebelum sidang kemuncak Korea Selatan denganPersatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada November.

Semasa mesyuarat minggu ini, kedua-dua negara merancang untuk menetapkan butiran jadual dan cara mempertingkat perdagangan dua hala mereka.

Korea Selatan sudah mempunyai satu perjanjian perdagangan bebas dengan ASEAN namun Seoul berusaha memperluas hubungan ekonomi dengan negara anggota secara individu menerusi perjanjian perdagangan bebas yang berasingan.

Ekonomi keempat terbesar di Asia itu telah memeterai FTA dengan Vietnam dan Singapura, dan sedang berunding dengan Indonesia dan Filipina.

Jika rundingan itu berjaya, Korea Selatan akan mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan kesemua lima rakan dagangan utama ASEAN.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu