ASEAN NCAP terima anugerah berprestij 'Prince Michael International Road Safety Award' di London [ 9m ago ]

Penyeludup dan empat kru diberkas di Myanmar kerana seludup 63 orang ke Malaysia

Tarikh kemaskini: 10/07/2019
YANGON, 10 Julai (Bernama) -- Seorang penyeludup dan empat kru bot telah diberkas oleh polis Myanmar di barat negeri Rakhine kerana menyeludup 63 orang ke Malaysia, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis tempatan pada Rabu.

Penangkapan itu dibuat apabila bot yang membawa mangsa kehabisan minyak semasa dalam perjalanan ke Malaysia dan ditemui terkandas berhampiran pantai di perbandaran Maungtaw oleh polis yang mengawal sempadan pada Ahad.

Mereka yang ditahan termasuk penyeludup utama, Hamad Tusaung.

Menerusi soal siasat, Hamad mengakui bahawa dia telah pulang dari Malaysia selepas mencapai persetujuan dengan seorang penyeludup manusia di negara itu untuk menyeludup penduduk tempatan dan menerima bayaran sebanyak US$722.8 untuk menjayakan misi tersebut.

Hamad turut mengenakan bayaran sebanyak 1.7 juta kyat (US$1,133) bagi setiap penumpang untuk perjalanan itu.

Pertuduhan telah dikemukakan terhadap Hamad dan empat anggota kru bot itu di bawah Undang-Undang Antipemerdagangan Manusia Myanmar.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu