Pesawad invites people to don traditional Malay attire during Merdeka celebration [ 14m ago ]

Hubungan AS-China dijangka terus bergelora - ahli akademik

Tarikh kemaskini: 10/07/2019
Gao Jian
Oleh Voon Miaw Ping and Nur Ashikin Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Hubungan China-Amerika Syarikat (AS) dijangka bergelora dalam tempoh beberapa tahun ini susulan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara akibat persaingan untuk tampil sebagai ekonomi utama dunia, kata seorang ahli akademik.

Menurut Profesor Gao Jian, Ketua Jabatan Pengajian Tadbir Urus Kawasan dan Global Akademi Shanghai, China, ketegangan antara dua gergasi ekonomi global itu dijangka tidak akan mereda dalam tempoh terdekat meskipun terdapat 'jeda’ selepas kedua-dua pemimpin bertemu di luar Sidang Kemuncak G20 di Osaka.

Beliau berkata ini adalah kerana AS tidak dapat membiasakan diri dengan kebangkitan China dan menganggap pertumbuhan pesat republik itu sebagai satu cabaran.

"Secara peribadi, saya tidak begitu optimis dengan masa depan (hubungan China-AS). Amerika seolah-olah mempunyai niat untuk mencetuskan perang perdagangan dengan China,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di luar Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Mengulas pendirian China, beliau berkata kerajaan negara itu telah menyatakan bahawa mereka tidak bersedia memulakan perang perdagangan namun tidak gentar untuk berbuat demikian jika sebarang jalan terakhir untuk mengelaknya gagal.

“Kami tidak sanggup kerana kamu tahu perang perdagangan akan menyakiti antara satu sama lain, tiada siapa yang akan menang. Ia akan turut menyakiti orang lain. (Ini adalah) Berdasarkan pemahaman kami mengenai budaya politik domestik masyarakat Amerika, dan jika terdapat perang perdagangan, teruskanlah.

“Tetapi ia akan menjadi pilihan terakhir bagi kedua-dua pihak, sekurang-kurangnya untuk China kerana ia bukan perang perdagangan biasa, ia adalah perang perdagangan antara ekonomi terbesar dan kedua terbesar di dunia,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa krisis yang berlaku akan menjejaskan negara-negara lain, terutama ekonomi kecil dan keseluruhan sistem perdagangan antarabangsa, kerana semua ekonomi saling berkait antara satu sama lain serta menjalankan perniagaan dengan AS dan China.

Bagaimanapun, Gao berkata bertentangan dengan kepercayaan popular, negara-negara lebih kecil termasuk Malaysia tidak perlu memilih antara kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu jika perang perdagangan benar-benar berlaku.

Susulan ketidakpastian itu, Gao berkata China bersedia sepenuhnya untuk berdepan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

"China kini tidak sama dengan China yang dahulu, begitu juga dengan AS. Secara domestik, kami memiliki banyak sumber sosial untuk dimanfaatkan sepenuhnya, demi kelangsungan hidup, dan sedikit sebanyak, melihatnya (perang perdagangan) sebagai satu peluang untuk kami melakukan rombakan dan memperbaiki diri.

“Kami amat yakin dengan masa depan kami” katanya.

Beliau berkata ketika hubungan China-AS terus tegang, China sebaliknya memfokus kepada memperkukuh hubungan ekonominya dengan negara lain di seluruh dunia, termasuk Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Kesatuan Eropah (EU).

Beliau berkata ASEAN telah menjadi rakan perdagangan China yang penting, dan ia melihat masa depan rantau itu dengan penuh optimis.

China adalah rakan dagangan utama ASEAN selama 10 berturut-turut, mencatat jumlah perdagangan hampir US$600 bilion (RM2.48 trilion) pada 2018, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 14.1 peratus berbanding 2017.

ASEAN juga adalah rakan kongsi ketiga terbesar China, di belakang EU dan AS. Kadar pertumbuhan perdagangan rantau itu dengan China adalah lebih pantas berbanding EU (10.6 peratus ) dan AS (8.5 peratus).

“Ekonomi China dan ASEAN adalah sangat saling melengkapi antara satu sama lain. Kami adalah rakan dagangan terbesar di ASEAN dan trend ini tidak akan berhenti. Saya melihat Malaysia dan Indonesia sebagai amat penting; mereka adalah peneraju, dan berada di peringkat ekonomi sedang meningkat,’ katanya.

Malaysia adalah antara 10 rakan dagangan utama China dengan perdagangan dua hala berkembang sebanyak 13 peratus tahun ke tahun kepada US$108.62 bilion (RM436.64 bilion).

Sementara itu, EU kini merupakan rakan dagangan terbesar China manakala China juga adalah rakan dagangan kedua terbesar EU, dengan jumlah perdagangan dua hala mencatat €605 bilion pada 2018, meningkat daripada €573 bilion pada 2017.

Tahun lepas, perdagangan perkhidmatan dan barangan AS dengan China berjumlah US$737.1 bilion, dengan defisit US$378.6 bilion. Eksport AS hanyalah US$179.3 bilion berbanding importnya dari China sebanyak US$557.9 bilion.

Presiden Donald Trump, dalam kempen presidennya, berjanji untuk menurunkan defisit perdagangan dengan China. Pertikaian perdagangan antara kedua-dua pihak bermula pada Mac 2018 selepas Trump mengenakan tarif ke atas barangan China bernilai US$50 bilion, yang menyasarkan 1,300 item.

Sejak itu, AS telah mengenakan tarif ke atas produk China bernilai US$250 bilion.

Sebagai tindak balas, China telah mengenakan tarif bernilai US$110 bilion ke atas barangan AS dan mengancam akan mengambil langkah kualitatif yang boleh menjejaskan perniagaan AS yang beroperasi di China.

Dalam satu pertemuan di luar Sidang Kemuncak G20 di Jepun, Trump dan Presiden China Xi Jinping bersetuju menyambung semula rundingan perdagangan yang terhenti pada Mei dan AS akan menangguhkan duti baharu ke atas barangan China bernilai US$300 bilion.

Trump turut melonggarkan pendiriannya terhadap Huawei selepas AS pada awalnya mengharamkan syarikat-syarikat negara itu daripada menjalankan perniagaan dengan gergasi telekomunikasi China itu pada Mei, atas alasan risiko keselamatan negara.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu