Tindakan pelajar UMT selamatkan ikan lumba-lumba dapat pujian ramai [ 1h ago ]

Rakyat Namibia di Malaysia digesa daftar sebagai pengundi

Tarikh kemaskini: 10/07/2019
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Namibia telah menggesa rakyat negara itu yang kini berada di Malaysia agar mendaftar sebagai pengundi dengan suruhanjaya tersebut untuk melaksanakan hak demokratik mereka dalam pilihan raya negara itu yang akan datang bagi memilih Presiden dan anggota Dewan Perhimpunan Kebangsaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, Pesuruhjaya Tinggi Namibia ke Malaysia Anne Namakau Mutelo berkata kedua-dua pemilihan, yang dijadual berlangsung pada 27 Nov di Namibia dan 13 Nov di misi diplomatik Namibia di luar negara, mengkehendaki semua rakyat negara itu yang berusia 18 dan ke atas mendaftar dalam Pendaftaran Pengundi Tambahan.

Proses pendaftaran akan bermula di Suruhanjaya Tinggi Namibia di sini pada 8 Julai dan berakhir pada 27 Julai (Isnin hingga Sabtu) dari 8 pagi hingga 7 malam.

Bagi rakyat Namibia yang belum pernah mendaftar sebelum ini, mereka yang telah mencapai usia 18 tahun sebelum tarikh akhir pendaftaran dan bagi mereka yang kehilangan kad pengundi, mereka dialu-alukan untuk berbuat demikian di suruhanjaya tinggi dengan mengemukakan salah satu dokumen penting yang diperlukan -- dokumen pengenalan Namibia (biru), dokumen pengenalan lama Namibia, Pasport Hijau Namibia yang Sah atau Sijil Kerakyatan Namibia dan Penyataan Bersumpah oleh dua deponen berdaftar.

Mereka yang memiliki Kad Daftar Pengundi Sah tidak perlu mendaftar, menurut beliau dalam kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut berhubung pendaftaran pengundian, rakyat Namibia adalah digalak melayari laman rasmi Facebook suruhanjaya itu di https://www.facebook.com/High-Commission-of-Namibia-in-Malaysia-545569248871990/.

Namibia, kini sebuah negara dengan sejumlah 2.62 juta penduduk dan pernah dikenali sebagai Afrika Barat Daya, mencapai kemerdekaannya dari Afrika Selatan pada 21 Mac 1990 selepas terpaksa menempuh perjuangan yang panjang.

Negara itu terkenal kerana keindahan dan keunikan lanskap, flora dan faunanya. Namibia merupakan kediaman kepada 13 budaya etnik dan penduduknya bertutur dalam 16 bahasa serta dialek.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu