SUKAN

Cikgu Rahim berazam kembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan

11/07/2019 09:46 AM

MELAKA, 11 Julai (Bernama) -- Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bersama pasukan pemulihan bola sepak negeri itu berazam mengembalikan semula kegemilangan pasukan ‘The Red Warriors’ setelah mengalami beberapa episod kejatuhan dalam Liga Malaysia.

Wan Abdul Rahim yang mesra dengan panggilan Cikgu Rahim mengakui ia bukan tugas mudah dan memerlukan masa untuk dipulihkan.

“Saya dipilih untuk bersama rakan-rakan lain dalam pakej menyelamatkan pasukan Kelantan daripada ‘jatuh ke dalam lubang yang lebih dalam’… ianya satu tugas berat namun saya ambil positif kepercayaan yang diberikan untuk bersama-sama bekas pentadbir KAFA lain dalam memulihan kembali keupayaan pasukan.

“Ini semua dilakukan bagi mengubati luka peminat bola sepak Kelantan yang inginkan KAFA dan pasukan kembali pulih menjadi antara pasukan yang digeruni di negara ini,” katanya kepada Bernama selepas tamat perlawanan Liga Perdana menentang pasukan PDRM di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Skuad The Red Worriors terpaksa akur dengan kekuatan pasukan The Cops setelah tewas 1-3 pada perlawanan ke-20 Liga Perdana.

Wan Abdul Rahim berkata dalam usaha memulihkan kembali pasukan Kelantan, beliau mengambil kira pandangan beberapa bekas presiden KAFA termasuk Tan Sri Annuar Musa, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Datuk Nasir Hamzah serta beberapa orang lagi yang pernah menyumbang jasa kepada sukan bola sepak Kelantan.

“Kami sentiasa berbincang dan saya akan mengambil kira pandangan dan buah fikiran mereka ini yang kini  berada dalam Majlis Penasihat KAFA bagi membentuk semula pasukan kesayangan rakyat negeri Kelantan,” katanya yang pernah bermain sebagai pemain pertahanan bagi pasukan Universiti Malaya (UM) pada tahun 1972-1975 .

Wan Abdul Rahim dipilih sebagai presiden baharu KAFA bagi penggal 2019-2023 mengantikan Bibi Ramjani  Ilias pada Kongres Luar Biasa (EGM) badan induk bola sepak Kelantan itu baru-baru ini.

Beliau berkata tumpuan KAFA pada ketika ini bagi menghabiskan saingan musim ini sebelum mula merancang pelan pemulihan pasukan tersebut yang akan bermula pada Ogos nanti.

 Selain itu, katanya KAFA juga akan mencari jalan penyelesaian berhubung isu gaji tertunggak pemainnya pada mesyuaratnya malam ini.

Pasukan Kelantan yang menduduki tangga kesepuluh daripada 12 pasukan dalam Liga Perdana sehingga kini mengumpul sebanyak 14 mata setelah mencatat tiga keputusan menang dan lapan seri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan