Produk dihasilkan di rumah dikecualikan perintah kawalan harga semasa musim perayaan [ 39m ago ]

Lapan maut, 35 cedera dalam insiden pengeboman kapal tangki di Syria

Tarikh kemaskini: 11/07/2019
AFRIN, 11 Julai (Bernama) -- Sekurang-kurangnya lapan orang awam maut manakala 35 lagi cedera dalam insiden pengeboman sebuah kapal tangki yang dipenuhi bahan letupan di Afrin, barat laut Syria pada Khamis.

Menurut koresponden agensi berita Turki Anadolu di lokasi kejadian, sebutir bom yang diletak di tangki minyak diesel kapal itu telah diletupkan di kawasan Tirende, di selatan pusat daerah Afrin.

Minyak yang tumpah telah mencetuskan kebakaran selepas letupan berlaku.

Pasukan keselamatan sedang menimbang kemungkinan serangan pengganas yang dirancang oleh Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) dan Parti Pekerja Kurdistan (PKK).

Sejak tiga tahun lepas, operasi antipengganas Turki iaitu Euphrates Shield dan Olive Branch telah membebaskan wilayah itu daripada YPG/PKK dan pengganas Daesh, yang membolehkan beratus-ratus ribu pelarian domestik pulang ke rumah masing-masing.

PKK-- yang disenarai sebagai sebuah pertubuhan pengganas oleh Turki, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah -- telah melancarkan kempen keganasan terhadap Turki selama lebih 30 tahun, yang mengakibatkan kematian hampir 40,000 orang.

YPG adalah cawangannya di Syria.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu