Pemegang lesen barang kawalan ditahan atas cubaan rasuah [ 5m ago ]

TMC dakwa berjaya patahkan percubaan rampasan kuasa baharu di Sudan

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
KHARTOUM, 12 Julai (Bernama) -- Majlis Peralihan Tentera (TMC) yang memerintah Sudan berkata pada Khamis bahawa ia telah berjaya mematahakn satu percubaan rampasan kuasa, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen rasmi TMC.

Kenyataan itu menyebut bahawa percubaan rampasan kuasa itu bertujuan melemahkan perjanjian akhir yang ditandatangani antara pihak tentera dan pembangkang berkaitan perkongsian kuasa selama tiga tahun menjelang pilihan raya.

Beberapa pegawai dan anggota tentera serta Perkhidmatan Keselamatan dan Perisikan Kebangsaan telah ditahan susulan percubaan rampasan kuasa itu, kata Jeneral Jamal Omar, Pengerusi Jawatankuasa berkaitan Keselamatan dan Pertahanan TMC.

Memandangkan sekurang-kurangnya 17 orang telah ditahan, termasuk anggota yang masih dan aktif dan telah bersara, Omar berkata majlis tentera masih menjejaki orang lain yang mungkin terlibat.

"Setakat ini kami telah menahan 13 pegawai kanan dan empat pegawai rendah tentera. Kesemua percubaan ini mungkin berterusan kerana banyak pihak tidak mahu perjanjian antara tentera dan parti politik berjalan lancar,” kata beliau.

Omar, bagaimanapun berikrar bahawa TMC akan meneruskan proses perkongsian kuasa dan membina institusi tempoh peralihan mengikut perjanjian yang akan ditandatangani tidak lama lagi.

Sementara itu, langkah keselamatan berat dikuatkuasakan serta-merta di jalan-jalan di Khartoum, kata saksi.

TMC dan pakatan pembangkang Angkatan Kebebasan dan Perubahan telah memuktamadkan satu perjanjian minggu lepas berkaitan perkongsian kuasa.

Sudan terjerumus dalam kancah kekacauan sejak 11 April apabila pihak tentera mengumumkan penyingkiran Presiden Omar al-Bashir selepas beberapa bulan berlaku protes popular terhadap pemerintahannya selama 30 tahun.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu