UM perjelas punca halang graduan perakaunan sertai konvokesyen [ 7h ago ]

Sistem kad lencana, lanyard pastikan keselamatan jemaah haji di Makkah

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
Daripada Fadzli Ramli

MADINAH, 12 Julai (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) akan menggunakan sistem kad lencana dan lanyard berwarna pada musim haji tahun ini dalam usaha memastikan keselamatan jemaah haji di Makkah.

Ketua Rombongan Haji 1440H/2019M TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata melalui sistem itu setiap jemaah haji berada di Makkah akan diberikan kad lencana dan lanyard mengikut zon maktab penginapan masing-masing.

Beliau berkata 14 maktab penginapan TH akan dibahagikan kepada empat zon iaitu A, B, C dan D yang mana pasukan peronda TH boleh mengenal pasti dengan mudah zon penginapan jemaah haji melalui warna kad lencana dan lanyard.

"Jemaah haji menunaikan umrah pertama kita juga beri lanyard dengan warna berbeza. Kita rekabentuk bagi memudahkan kita kenal pasti jemaah dengan jelas dari jauh," katanya pada sidang media di Makkah dan rakaman sidang media itu dikongsikan TH kepada Bernama.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam Kelima itu pada musim haji tahun ini dengan dibantu 640 petugas TH.

Syed Saleh berkata melalui sistem itu juga pasukan peronda TH dapat mengenal pasti jemaah dari jauh dan dapat membuat tindakan pantas apabila mendapati ada jemaah yang berada di luar daripada zon mereka.

"Ini kemudian memudahkan koordinasi pasukan peronda dan maktab penginapan bagi memandu semula jemaah itu ke hotel masing-masing. Ini perlu bagi pastikan jemaah tidak tersasar jauh daripada kawasan penginapan," katanya.

Beliau berkata pasukan peronda TH akan melakukan rondaan 24 jam sehari di Masjidil Haram bagi memastikan keselamatan jemaah haji dan memberikan bantuan perubatan segera kepada jemaah haji yang memerlukan.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu