Perak minat tingkatkan keselamatan sempadan [ 3h ago ]

Mahkamah Tinggi benarkan permohonan penangguhan hukuman penjara Wan Ji

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
SHAH ALAM, 12 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara setahun yang sedang dijalaninya kerana menerbitkan perkataan berunsur hasutan terhadap Sultan Selangor, sehingga rayuan selesai.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman memutuskan perkara itu selepas mempertimbangkan alasan yang dikemukakan oleh dua peguam mewakili tertuduh iaitu Mohd Radzlan Jalaludin dan Ariff Azami Hussein.

Beliau turut memerintahkan penceramah bebas berumur 37 tahun itu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah jika diperbaharui dan melarang Wan Ji untuk ke luar negara tanpa kebenaran mahkamah.

"Penangguhan pelaksanaan hukuman itu dibenarkan dan syarat yang ditetapkan sebelum ini diteruskan," katanya.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini, syarat yang ditetapkan adalah Wan Ji perlu membayar jaminan RM5,000 dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah yang hadir bagi pihak pendakwaan dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu.

Wan Ji yang menjalani hukuman penjara dua hari di Penjara Kajang, memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah sama pada Selasa lepas dan mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman pada hari yang sama.

Sementara itu, Mohd Radzlan yang ditemui selepas prosiding berkenaan berkata pihaknya mengemukakan 18 alasan kepada mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman Wan Ji.

"Antara alasan yang dikemukakan pihak kami adalah tempoh masa penjara yang perlu dijalani Wan Ji itu lama dan dia merupakan penanggung tunggal yang perlu memastikan kebajikan anak dan keluarganya terjamin," katanya.

Pada Selasa lepas, media melaporkan Wan Ji dijatuhi hukuman penjara setahun selepas Mahkamah Tinggi di sini menolak rayuannya kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lepas.

Abdul Halim menjatuhkan hukuman berkenaan setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan dengan menambah hukuman Wan Ji dari sembilan bulan kepada setahun.

Wan Ji, didakwa pada 10 Sept 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, pada 10 pagi, 5 Nov 2012.

Dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu