Mangsa kemalangan tak sabar ke sekolah [ 1m ago ]

Tanah runtuh timbus tujuh sekeluarga di Mexico tengah

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
MEXICO CITY, 12 Julai (Bernama) -- Tujuh sekeluarga, termasuk empat kanak-kanak, terbunuh apabila satu insiden tanah runtuh menimbus rumah mereka di Mexico Tengah, lapor agensi berita China Xinhua memetik pegawai tempatan pada Khamis.

Hujan lebat pada Rabu malam menyebabkan sebahagian kawasan bukit runtuh di Santo Tomas Chautla, sebuah komuniti yang terletak 15 kilometer dari ibu negeri Puebla.

Menurut agensi perlindungan awam ibu negeri itu, terdapat satu perjumpaan keluarga di kediaman itu bagi meraikan graduasi kanak-kanak sekolah rendah ketika insiden tanah runtuh berlaku pada kira-kira pukul 8 malam.

Dua lagi kanak-kanak berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital.

Pihak berkuasa turut memindahkan penduduk di dua lagi rumah di kawasan itu, yang terletak di tepi bukit dan berhampiran sebatang sungai yang sempit, susulan ancaman lebih banyak hujan dan tanah runtuh.

"Objektifnya ialah untuk mencegah satu lagi tragedi seperti yang berlaku malam tadi," kata Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Puebla Fernando Manzanilla menerusi Twitter selepas meninjau lokasi bencana.

Bulan Jun hingga Oktober merupakan musim hujan di Mexico.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu