Kelantan must win against UKM FC to remain in Premier League [ 9m ago ]

Tiga lelaki ditahan jual arak tanpa lesen

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
PETALING JAYA, 12 Julai (Bernama) -- Polis menahan tiga penjaga premis termasuk dua lelaki warga India kerana dipercayai menjual minuman keras dan rokok tiruan dalam dua serbuan berasingan di sini, sejak Rabu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata dalam serbuan pertama pada 1.30 tengah hari, Rabu lepas di sebuah kedai runcit di Rumah Pangsa Kayu Ara Jalan Teratai, polis menemui pelbagai jenama arak dan rokok disyaki seludup di bahagian loteng premis.

Katanya dalam serbuan kedua di sebuah kedai runcit di Bandar Damansara Perdana semalam pada kira-kira 3.30 petang, polis menemui pelbagai jenama arak yang disimpan di dalam laci dan di bawah kaunter pembayaran premis itu.

Hasil serbuan di dua premis itu, polis merampas 607 tin dan botol minuman arak pelbagai jenama dan 32 karton rokok disyaki seludup yang dianggarkan bernilai RM10,490.

“Siasatan mendapati kedua-dua premis yang baharu beroperasi lima hingga enam bulan itu disyaki menjual arak dan rokok seludup kepada pelajar sekolah serta tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah, " katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.

Seorang daripada suspek ditahan reman empat hari sehingga Ahad ini manakala permohonan reman dua lagi suspek dilakukan di Mahkamah Petaling Jaya hari ini. Kesemua mereka berusia antara 25 dan 55 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Polis turut menasihati orang ramai untuk tidak membeli dan meminum arak tiruan yang dijual tanpa lesen kerana terdapat beberapa jenama yang dikhuatiri mengandungi kandungan metanol yang tinggi dan boleh memudaratkan.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu