Kelantan must win against UKM FC to remain in Premier League [ 8m ago ]

Mahkamah Tinggi benar permohonan Tajuddin batal saman Pua, Loke

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk membatalkan saman, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee berhubung dakwaannya parti itu cuba menghapuskan sistem beraja di negara ini.

Ketika ditemui pemberita, peguam Farhan Haziq Mohamad, yang mewakili Loke dan Pua berkata Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu di dalam kamarnya yang dihadiri Farhan dan peguam Datuk Hasnal Reza Merican, yang mewakili Tajuddin.

“Mahkamah membenarkan permohonan defendan untuk membatalkan saman itu tanpa dikenakan sebarang kos. Mahkamah membenarkan permohonan itu berdasarkan plaintif tidak membuat akuan bahawa defendan telah menyebabkan penerbitan artikel fitnah itu.

“Jadi sekarang saya perlu mendapatkan perintah daripada anak guam saya sama ada membuat rayuan berhubung keputusan ini atau memfailkan yang baharu,” katanya.

Tajuddin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 8 Mei lepas atas alasan kata-kata yang diajukannya tidak merujuk kepada jawatan atau profesion plaintif.

Loke yang merupakan Ahli Parlimen Seremban dan Pua yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, memfailkan saman itu terhadap Tajuddin pada 20 Mac lepas berhubung ucapannya di Kampung Jawa pada malam sebelum Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Kandis pada 3 Ogos tahun lepas.

Loke dan Pua berkata Tajuddin dalam ucapannya mendakwa mereka merupakan penganut Kristian yang bersama rakan mereka dalam DAP berusaha untuk bukan sahaja menyebarkan agama itu tetapi juga menghapuskan raja-raja Melayu.

Tajuddin juga didakwa mengatakan mereka berusaha menubuhkan sistem pemerintahan seperti di Singapura yang mana tidak memiliki raja atau sultan.

Ucapan defendan dilaporkan di laman web berita pada hari yang sama ucapan itu dibuat dengan tajuk Tajuddin fires 'Christian DAP' salvo to close BN's Sg Kandis campaign yang dikongsikan 9,400 kali.

Dalam penyataan tuntutan mereka, Loke dan Pua mendakwa kenyataan Tajuddin menggambarkan mereka menggunakan kedudukan mereka untuk memperjuangkan agenda politik peribadi.

Mereka mendakwa perkataan yang diungkapkan defendan adalah satu ucapan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi mereka dalam bidang politik oleh itu, kedua-dua plaintif menuntut satu injunksi menyekat defendan daripada menerbitkan perkataan fitnah itu dan juga menuntut injunksi mengarahkan defendan membuat permohonan maaf.

Mereka juga menuntut ganti rugi am untuk libel, ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu