UM perjelas punca halang graduan perakaunan sertai konvokesyen [ 8h ago ]

Dialog bersama 36 industri di Beijing beri peluang promosi MW

Tarikh kemaskini: 12/07/2019

JEMPOL, 12 Julai (Bernama) -- Forum dan dialog bersama 36 industri di Beijing yang diadakan sempena lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri ke China yang turut disertai Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun baru-baru ini, telah memberi peluang untuk mempromosikan projek pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) di bahagian barat negeri ini.

Aminuddin yang merupakan sebahagian daripada delegasi lawatan selama empat hari yang bermula Isnin lepas itu berkata lawatan berkenaan turut membuka peluang kepada pihaknya menawarkan kepada pelabur industri berteknologi tinggi untuk melabur di negeri ini.

Katanya terdapat pelabur yang menunjukkan minat untuk melabur dalam projek MVV itu yang dijangka mengambil masa selama 30 tahun untuk dibangunkan.

"Kita telah mempromosikan MVV 2.0 ini ke negara mereka dan apabila kita memberi penerangan, dialog serta tayangan klip video, mereka menyatakan bahawa projek ini merupakan suatu lokasi yang baik dan sesuai untuk ditawarkan industri-industri khususnya industri berteknologi tinggi ke negara kita.

"Ini yang kita harapkan bagi mempromosikan MVV ini kepada pelabur dan banyak juga syarikat telekomunikasi di sana cuba berbincang dengan kita berkenaan projek ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Ketua Jabatan Daerah Jempol, di sini, hari ini.

Menurut Aminuddin, lawatan itu dilihat memberi input postif dalam membangunkan negeri ini berpandukan kejayaan pembangunan di sana yang penuh revolusi dalam memastikan negara menjadi lebih bersih, teratur dan mempunyai landskap menarik.

"Lawatan kerja tersebut dapat memberi iktibar kepada semua supaya memastikan kebersihan dan keindahan negeri terpelihara selain mendapat banyak pengalaman cukup baik untuk kita bangunkan negara ini khusus dalam bidang pembangunan," katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu