Pahang Rangers perlu fokus dua aksi di tempat lawan [ 10m ago ]

Nasib bekas atlet paralimpik terbela, bakal miliki rumah sendiri

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
BANDAR PERMAISURI, 12 Julai (Bernama) -- Nasib bekas atlet paralimpik negara Azman Mohamed Salleh sekeluarga, yang hilang tempat tinggal sebelum ini, akan terbela apabila bakal memiliki rumah sendiri kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), kerajaan negeri akan menyediakan sebuah rumah buat atlet olahraga lontar peluru, baling cakera dan merejam lembing itu.

“Buat masa sekarang pihak kami masih berusaha untuk mengenal pasti tapak tanah yang sesuai untuk membina rumah buat Azman,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga Azman di Lembah Bidong di sini.

Hadir sama Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Pada Ramadan lepas, Azman, 47, diminta mengosongkan rumah PPRT di Kampung Rhu Tapai, Setiu yang disewanya sejak tujuh tahun lepas.

Kini, Azman bersama isteri Siti Faizura Zulkapeli, 31, dan empat anak mereka berumur tujuh bulan hingga 10 tahun menyewa di sebuah rumah di Lembah Bidong yang sebahagian besar kadar sewa dibiayai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Kadar sewa rumah yang Azman tinggal sekarang ialah RM350. Maidam menanggung sewa sebanyak RM300 dan Azman hanya perlu membayar RM50 sahaja,” kata Wan Sukairi.

Selain itu, Azman turut menerima bantuan daripada YAKEB sebanyak RM300 sebulan selama enam bulan bermula Mei lepas dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM400 sebulan.

Sementara itu, Azman yang kudung kaki kiri akibat kejadian langgar lari pada 2006, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada pelbagai pihak yang sudi membela nasibnya.

“Kini saya tidak lagi risau mengenai masalah rumah. Rumah yang saya sewa sekarang ini pun atas pertolongan kerajaan negeri,” katanya.

Bagi menampung kehidupan seharian keluarganya, Azman yang tidak lagi beraksi dalam mana-mana kejohanan sejak 2016 kini bekerja sambilan sebagai deejay majlis perkahwinan dengan pendapatan antara RM100 hingga RM400 sebulan.

Azman sebelum ini pernah mewakili negara ke beberapa kejohanan, termasuk Sukan Para ASEAN serta Sukan Atlet Berkerusi Roda dan Kudung Antarabangsa (IWAS) di Bangalore serta Chennai, India sejak 2008 hingga 2016.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu