Permulaan baik bagi Zii Jia [ 6m ago ]

Kelantan peruntuk RM250,000 jayakan hari peladang, penternak dan nelayan

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
PASIR PUTEH, 12 Julai (Bernama) – Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM250,000 bagi menjayakan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri yang akan diadakan di Pantai Bisikan Bayu di sini, selama lima hari bermula 31 Julai hingga 4 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Sarifudin Tuan Ismail berkata pihaknya akan bekerjasama dengan agensi kerajaan persekutuan bagi menjayakan program itu.

“Sehingga kini 50 agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang berkaitan disahkan akan mengambil bahagian sepanjang program berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan lebih 20,000 penduduk dari Bachok, Machang dan Besut, Terengganu akan mengunjungi pesta yang bermula pada pukul 10 pagi sehingga 11 malam yang menyajikan pameran, jualan hasil tani, produk industri kecil dan sederhana (IKS) selain pertunjukan kebudayaan tradisional.

Katanya antara pengisian program ialah pameran 100 ekor lembu sado, 150 ekor kambing dan biri-biri, arnab, pelbagai jenis ayam dan paling menarik pameran ikan kerapu gergasi spesies Kertang bernilai RM30,000.

"Pengunjung juga berpeluang mendapatkan harga barangan keperluan harian 10 peratus lebih murah berbanding harga pasaran sepanjang acara itu berlangsung.

"Di samping itu pengunjung juga berpeluang menyertai pesta buah-buahan 'makan sampai kenyang' yang membabitkan buah durian, rambutan, duku, manggis dan dokong dengan harga yang paling minimum," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu