Jalur Gemilang scarf frenzy [ 11m ago ]

445 pemandu e-hailing di Perak lulus ujian PSV

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
IPOH, 12 Julai (Bernama) -- Seramai 1,069 pemandu perkhidmatan e-hailing di Perak telah mendaftarkan pengambilan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) sehingga hari ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak Severinus Tukah berkata dari jumlah itu, seramai 696 pemandu telah menghadiri kursus dan hanya 445 daripadanya yang lulus selepas melalui proses perolehan lesen PSV.

“Bagaimanapun setakat ini hanya 343 pemandu daripada mereka yang telah lulus memperoleh kad PSV manakala 102 lagi masih belum mengambil kad PSV daripada JPJ,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengalakkan pemandu e-hailing mendapatkan lesen PSV dengan menjalani kursus enam jam sebelum tarikh penguatkuasaannya pada hari ini (12 Julai).

Kerajaan juga memberi kelonggaran kepada pemandu perkhidmatan itu dengan membolehkan mereka menjalani kursus dalam talian dan tidak perlu ke kelas, diberi masa anjal menghabiskan kursus selama enam jam secara berperingkat serta satu jam peperiksaan ujian berkomputer.

Severinus berkata menjadi suatu kesalahan untuk pemandu perkhidmatan e-hailing memandu kenderaan membawa penumpang tanpa memiliki lesen yang sah dan pesalah akan berdepan tindakan undang-undang selepas peraturan itu dikuatkuasakan.

Bagaimanapun Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan hari ini berkata Jemaah Menteri memutuskan penguatkuasaan peraturan itu akan dilaksanakan melalui pendekatan ‘soft landing’ yang mana semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat-syarat ditetapkan dibenarkan untuk meneruskan operasi selama tiga bulan mulai hari ini.

Loke berkata mana-mana pemandu yang tidak memenuhi syarat kenderaan akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir supaya melengkapkan semua peraturan yang ditetapkan.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu