TNB pelawa syarikat telekomunikasi jadi penyedia perkhidmatan runcit jalur lebar berkelajuan tinggi [ 5m ago ]

Suri rumah rugi RM20,000 ditipu sindiket Macau Scam

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
KEPALA BATAS, 12 Julai (Bernama) -- Seorang suri rumah kerugian RM20,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwanya terlibat dalam kes dadah dan pengubahan wang haram, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor hari ini.

Katanya mangsa berusia 56 tahun itu pada mulanya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang kakitangan Telekom yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran untuk akaun telefon lain.

"Selepas menafikan memiliki akaun berkenaan, panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada individu kononnya pegawai polis yang mendakwa wanita itu terlibat dalam kes dadah dan pengubahan wang haram," katanya di sini hari ini.

Katanya berikutan takut ditangkap, mangsa telah membuat empat transaksi pindahan wang kononnya ke akaun pegawai juruaudit Bank Negara Malaysia bagi tujuan siasatan sebagaimana diarahkan saspek membabitkan RM20,000 sejak minggu lepas.

Beliau berkata mangsa hanya menyedari ditipu setelah memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya dan diberitahu pemanggil tersebut adalah scammer sebelum membuat laporan polis semalam.

"Orang ramai diminta supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket menerusi panggilan telefon. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu