Sabah capai 90 peratus tahap perkhidmatan ICT [ 25m ago ]

APMM tahan empat nelayan asing di perairan Kertih

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
KEMAMAN, 12 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot fiber bersama empat nelayan warga Myammar termasuk tekong yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Kertih awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata semua bot bersama nelayan berusia 20 hingga 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 pagi pada jarak lima batu nautika dari Pantai Kertih.

“Pihak APMM telah menerima maklumat berkenaan aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan pantai asing itu oleh orang awam. Susulan itu, sebuah bot ronda telah ditugaskan untuk membuat tinjauan.

“Hasil siasatan mendapati empat nelayan Myammar terbabit tidak mempunyai lesen dan permit menangkap ikan di perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Rashidilhadi, APMM telah merampas bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM 60,000 dan kesemua tangkapan tersebut dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan lesen dan permit kebenaran menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu