Sabah capai 90 peratus tahap perkhidmatan ICT [ 1h ago ]

Operasi Cegah Jenayah tahan 166 pendatang tanpa izin

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Seramai 166 warga asing termasuk 17 warga Afrika ditahan dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) di beberapa kawasan tumpuan di sekitar ibu negara menerusi dua operasi pada 5 Julai dan semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata operasi itu dilaksanakan di 18 lokasi iaitu sekitar Pasar Pudu, Jalan Chow Kit, Kepong, Changkat Bukit Bintang, Jalan Silang, Kawasan Bt.5 ½, Jalan Klang Lama, LRT Bandar Tasik Selatan, Taman Miharja, Jalan Haji Eusoff, LRT PWTC, Taman Fadason Jinjang, Taman Wilayah Jinjang, Batu Muda Jinjang, Taman Dato Senu Sentral, Jalan Sepadu, Jalan Raden Bagus dan Jalan Alor Bukit Bintang.

Menurutnya, seramai 505 pendatang asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 17 warga Afrika ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan tujuh wanita, masing-masing dari Sierra Leone, Senegal, Nigeria, Uganda, Ghana dan Congo.

Katanya turut ditahan 55 warga asing dari Myanmar, Bangladesh (45), India (18), Indonesia (17), Nepal (9), Pakistan (4) dan Filipina (1).

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pind 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan akta-akta yang berkaitan.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk tindakan lanjut mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mazlan berkata, polis memandang serius isu kebanjiran warga asing terutamanya warga Afrika yang menyumbang ke arah kejadian jenayah di negara ini.

Menurutnya, operasi tersebut akan diteruskan bagi membanteras permasalahan kebanjiran warga asing sekali gus berusaha menurunkan kadar jenayah yang disebabkan oleh warga asing.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2146 9999 atau balai polis berdekatan,”katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu