Mangsa kemalangan tak sabar ke sekolah [ 10m ago ]

Pelajar UMS antara 10 terbaik wakili Malaysia dalam program Huawei di China

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
KOTA KINABALU, 12 Julai (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) amat berbangga apabila pelajar universiti itu terpilih antara 10 yang terbaik mewakili Malaysia dalam program "Huawei Seeds For The Future" yang diadakan di Shenzen, China selama dua minggu bermula pada 28 Jun lepas.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kamarudin Mudin berkata, sejak 2017 sehingga kini, lima pelajar UMS terpilih bersama pelajar lain dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain mengikuti program tajaan sepenuhnya oleh Huawei.

Program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang persekitaran pekerjaan secara langsung di ibu pejabat Huawei selain meningkatkan kemahiran dalam teknologi dan membantu kebolehpasaran pelajar menghadapi alam pekerjaan kelak.

"Tiga pelajar UMS telah terpilih mengikuti program itu pada tahun 2017, seorang pada tahun lepas manakala tahun ini pelajar dari Fakulti Pengkomputeran dan Informatiks Tan Mei Jun, 21, bersama sembilan pelajar dari IPT lain berjaya melepasi tapisan oleh Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Program Huawei Seeds for the Future mula diperkenalkan di Malaysia pada 2014 dengan mengumpulkan pelajar dari pelbagai negara datang ke China untuk lawatan sambil belajar dalam bidang teknologi termasuk pembelajaran teknologi 5G.

D Kamarudin, yang kini berada di China, menyertai rombongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diketuai Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk lawatan rasmi ke ibu pejabat Huawei, Ping An Li Smart School dan Shenzhen University, serta menghadiri Majlis Penutupan Huawei Seeds of the Future 2019.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu