Cheng Hoe harap skuad Harimau Malaya terus tampil kecemerlangan [ 56s ago ]

Alat elektrik tidak selamat bernilai RM30,000 dirampas dari kedai aksesori telefon

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Sebanyak 1,564 unit kelengkapan elektrik pelbagai jenama yang tidak selamat bernilai lebih RM30,000 dirampas Suruhanjaya Tenaga dalam tiga serbuan di kedai aksesori telefon sekitar Kota Damansara, Selangor pada 25 Jun lepas.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini berkata antara alat terbabit ialah soket sambungan, pengecas telefon bimbit, pengecas port USB dan travel adapter.

"Kelengkapan elektrik tersebut dirampas kerana didapati tidak mempunyai Perakuan Kelulusan (CoA) (Certificate of Approval) dari Suruhanjaya Tenaga dan tidak dilabel dengan label keselamatan SIRIM-ST," katanya.

Katanya kes disiasat di bawah Peraturan 97, Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 yang menyatakan kelengkapan elektrik yang dikawal hendaklah mempunyai Perakuan Kelulusan sebelum ia boleh dikilang, diimport, dipamer, dijual atau diiklankan serta Peraturan 98 kerana menjual kelengkapan elektrik yang tidak dilabel.

Suruhanjaya Tenaga berkata syarikat terbabit berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu