Police nab two men, seize drugs worth over RM700,000 [ 8m ago ]

Dua lelaki Myanmar dalam tahanan dipercayai dalang sindiket dagang manusia

Tarikh kemaskini: 12/07/2019

BUKIT MERTAJAM, 12 Julai (Bernama) -- Dua lelaki warga Myanmar yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan memalsukan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Khamis lepas, merupakan dalang utama sebuah sindiket yang mempunyai rangkaian di negara asal mereka.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T.Narenasagaran hari ini berkata kedua-dua lelaki yang berusia 27 dan 50 tahun dan berketurunan Rohingya itu dipercayai menjalankan kegiatan pemerdagangan manusia khususnya yang melibatkan etnik mereka sendiri.

"Kedua-dua lelaki ini mempunyai kaitan dengan lima individu warga Myanmar termasuk sepasang suami isteri yang ditahan polis pada 14 Jun lepas di Daerah Seberang Perai Utara (SPU). Tiga daripada lelaki yang ditahan itu merupakan anggota sindiket yang sama dan mempunyai rangkaian di kalangan komuniti Rohingya di sekitar negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Kursus Asas Menunggang Motosikal Berat Klas 'B' Pegawai Kanan Polis Bil 10 Siri 1/2019 di Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini.

Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas dua lelaki itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bukit Tengah di sini, di mana polis turut merampas 42 keping kad UNHCR yang dicetak dengan pelbagai nama yang palsu dan 25 keping lagi kad yang sama yang tidak tercetak sepenuhnya.

Narenasagaran berkata polis bersama-sama Jabatan Imigresen Malaysia(JIM) sedang menjalankan siasatan untuk mendapatkan maklumat lanjut rangkaian sindiket itu di Myanmar yang dipercayai memperdayakan mangsa di negara itu untuk dibawa masuk ke Malaysia dengan sejumlah bayaran tertentu.

"Sindiket itu juga mempunyai beberapa buah safe house (rumah selamat) di negeri ini untuk 'menyimpan' warga Myanmar ini sebelum diserahkan kepada ejen-ejen untuk tindakan selanjutnya. Kad-kad UNCHR itu dijual kepada mangsa pemerdagangan manusia yang mereka bawa masuk," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dengan memukul individu yang ditahan bersabit kes jenayah kerana tindakan itu melanggar undang-undang.

Katanya mereka sepatutnya menyerahkan individu tersebut kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian seorang remaja lelaki mengalami kecederaan di bahagian belakang badan selepas dipercayai dipukul dengan getah paip dan rotan ketika memecah masuk sebuah kedai runcit di Simpang Empat, Balik Pulau semalam.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu